KOTA KINABALU: Kementerian
Pertanian dan Industri Makanan Sabah kini memantapkan hubungan serta
jalinan kerjasama bersepadu dengan jabatan dan agensi Kementerian
Pertanian Persekutuan sebagai usaha merealisasikan hala tuju sektor
pertanian negeri ini.
Antara jabatan dan agensi itu
ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan
Ternak, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perikanan, Korporasi
Pembangunan Desa (KPD), Ko-Nelayan, Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (Fama), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga
Pertubuhan Peladang Negeri (LPPN).
Menterinya, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata hubungan erat itu
penting dalam usaha mencapai matlamat dasar serta hala tuju kerajaan
yang menjadikan pertanian sebagai sektor utama dalam menjana ekonomi
Sabah.
Katanya, dasar dan hala tuju kerajaan adalah konsisten serta mendapat
sokongan padu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi yang mahu supaya sektor pertanian negara ini dipermodenkan dan
berdaya saing.
“Sehubungan itu, dengan jalinan kerjasama serta hubungan yang mantap
antara kementerian ini dengan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan
akan membantu merealisasikan hala tuju dasar pertanian Sabah.
“Selain itu, kita mahu semua pegawai dan kakitangan di bawah jabatan
dan agensi ini mewujudkan hubungan rapat serta meneliti kelemahan yang
perlu diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada
Setiausaha Persekutuan, Datuk Sulaiman Iberahim, di Wisma Pertanian
Sabah, di sini.
Abdul Rahim berkata, pihaknya mempunyai tanggungjawab besar dalam
memajukan sektor pertanian di negeri ini dan hubungan sinergi yang
erat dengan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pertanian
Persekutuan adalah bersesuaian untuk bersama meningkat serta
mempermodenkan sektor pertanian di Sabah.
Beliau berkata, ini tidak bermakna selama ini kementerian tidak
mempunyai hubungan dengan kerajaan Persekutuan, sebaliknya memantapkan
lagi hubungan sedia ada.
“Apa yang kita mahu ialah hubungan erat dan intim antara semua jabatan
dengan agensi bagi mencapai objektif Dasar Pertanian Negeri Sabah
Kedua (DPNS2) dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) yang mana
mengoptimakan sumber pengeluaran sektor pertanian sebagai sumbangan
kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, teras utama pembangunan
sektor pertanian negeri Sabah ialah meningkatkan tahap pengeluaran
makanan domestik selain mengurangkan bil import makanan yang tinggi.
“Justeru, kita berharap dengan wujudnya sinergi antara kementerian dan
jabatan serta agensi ini menjadi menyumbang utama dalam menjana
ekonomi negeri serta rakyatnya,” katanya