27 buaya berkeliaran
Harian Metro, 25 Dis 2006

Dipercayai terlepas dari ladang ternakan haram

JOHOR BAHRU: Puluhan ekor buaya yang dipercayai terlepas dari ladang ternakan haram di Muar dan Kota Tinggi kini menjadi ancaman baru kepada mangsa banjir di dua daerah terbabit.

 

 

Orang ramai di daerah berkenaan mendakwa melihat reptilia itu yang terlepas ke penempatan penduduk selepas banjir luar biasa melanda negeri ini.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 27 buaya dilihat penduduk yang dipercayai terlepas dari ladang ternakan haram di tepi Sungai Kesang, Muar dan Sungai Panti, Kota Tinggi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin mengesahkan menerima laporan orang ramai yang mendakwa melihat buaya di sekitar bandar itu. “Pelbagai pihak melaporkan 12 buaya kini berada di sekitar bandar ini.

"Bagaimanapun polis belum menerima sebarang laporan daripada pemilik ladang ternakan buaya haram yang dikatakan beroperasi Sungai Panti, kira-kira dua kilometer dari pusat bandar mengenai haiwan ternakan mereka itu terlepas," katanya.

Beliau berkata, antara laporan yang diterima adalah penemuan seekor buaya atas jalan berdekatan pusat penempatan banjir di Sekolah Menengah Tun Habab di sini kira-kira jam 2 pagi semalam.

"Sehubungan itu, kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak bermain di kawasan berair bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya di sini, semalam.

Muhammad berkata, berikutan itu, polis akan mendapatkan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menangkap haiwan yang dipercayai terlepas itu.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kesang, Ishak Abu Bakar, pula berkata pihaknya menerima laporan ada anggota Rela mendakwa menemui antara 15 hingga 20 ekor buaya di beberapa kawasan banjir di Kesang.

Beliau berkata, anggota Rela terbabit mendakwa terlihat buaya berkenaan kira-kira jam 8 pagi semalam di empat kampung iaitu di Parit Ponorogo, Batu Tujuh, Kampung Bumi Hijau dan Kampung Parit Pajar Darat yang terletak di tepi Sungai Kesang .

"Bagaimanapun, semua penduduk pindah dari kawasan kampung berikutan banjir dan Rela melaporkan kepada Polis Muar mengenai penemuan buaya itu.

"Kami percaya buaya berkenaan terlepas dari sebuah ladang berhampiran Sungai Kesang yang menjalankan kegiatan ternakan ayam," kat an y a .