|
JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Muar dan Kota
Tinggi kini terpaksa berhadapan risiko dibaham buaya pula apabila
berpuluh ekor haiwan itu yang dipercayai diternak secara haram
dikatakan terlepas ke kawasan penempatan penduduk akibat banjir.
Orang ramai mendakwa haiwan berkenaan dilihat di
beberapa lokasi di bandar Kota Tinggi serta di empat kampung
sepanjang Sungai Kesang, Muar.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan
Muhammad Shamsuddin, ketika mengesahkan laporan itu berkata,
pihaknya menerima laporan daripada pelbagai pihak bahawa 12 ekor
buaya kini berada di sekitar bandar ini.
Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menerima laporan daripada
pemilik ladang ternakan buaya haram itu yang dipercayai beroperasi
di Sungai Panti, kira-kira dua kilometer dari pusat bandar mengenai
kejadian haiwan ternakan mereka terlepas.
"Kita menerima laporan orang ramai menemui seekor buaya di atas
jalan berdekatan pusat penempatan banjir di Sekolah Menengah Tun
Habab, di sini kira-kira jam 2 pagi tadi (semalam). |
"Sehubungan
itu, kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak
bermain di kawasan berair bagi mengelak sebarang kejadian tidak
diingini," katanya di sini, semalam.
Muhammad berkata, berikutan itu, polis akan mendapatkan bantuan
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)
untuk menangkap haiwan yang dipercayai terlepas itu.
Sementara itu, Penghulu Mukim Kesang, Ishak Abu Bakar, berkata
pihaknya menerima laporan bahawa ada anggota Rela mendakwa menemui
antara 15 hingga 20 buaya di beberapa kawasan banjir di Kesang.
Beliau berkata, anggota Rela terbabit mendakwa melihat buaya
berkenaan kira-kira jam 8 pagi semalam di empat kampung iaitu di
Parit Ponorogo, Batu Tujuh, Kampung Bumi Hijau dan Kampung Parit
Pajar Darat, yang terletak di tepi Sungai Kesang.
"Bagaimanapun, semua penduduk sudah pindah dari kawasan kampung
berikutan banjir dan Rela sudah melaporkan kepada polis Muar
mengenai penemuan buaya itu.
"Kami percaya buaya berkenaan terlepas dari sebuah ladang
berhampiran Sungai Kesang yang menjalankan kegiatan ternakan ayam,"
katanya. |