Perhilitan sedia tembak babi hutan
Oleh Isma Ismail
isma@hmetro.com.my
Harian Metro, 1 Feb 2006

KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan akan membuat tinjauan awal di sekitar kawasan yang didakwa babi hutan berkeliaran di sekitar Tanah Merah.

Malah, Perhilitan akan bertindak menembak haiwan terbabit jika disahkan menjadi punca kepada virus Japanese Encephalitis (JE) di jajahan berkenaan.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Pazil Abdul Patah, berkata tinjauan awal akan dibuat di beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai habibat haiwan liar terbabit.

Menurut beliau, pihaknya bagaimanapun belum dapat menentukan tarikh operasi menembak akan dijalankan.

“Semuanya bergantung kepada Jabatan Kesihatan Kelantan, sekiranya mereka minta bantuan kita untuk memusnahkan haiwan terbabit.

“Tetapi sehingga kini, belum dipastikan beberapa pesakit yang sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu disahkan sebagai penghidap virus JE.

“Malah, belum diketahui juga bahawa babi hutan di

kawasan berkenaan sebagai punca kepada virus
terbabit,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, dua lagi mangsa dimasukkan ke HRPZ II kerana disyaki dijangkiti virus JE.

Khamis lalu, seorang pelajar tingkatan satu, Siti Mardiana Mohd Romli dari Kampung Air Kerala, Batang Bergedik di Gual Ipoh, dekat sini, meninggal dunia dipercayai dijangkiti virus JE.

Selain dua mangsa terbaru itu, dua lagi mangsa termasuk seorang yang disahkan dijangkiti virus maut terbabit.

Difahamkan, penyakit berkenaan disebarkan oleh nyamuk culex tritaeniorhynchus yang berpunca daripada virus pada babi hutan yang didakwa penduduk berkeliaran di kawasan mereka sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Pazil, pihaknya memang tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan mengenai gangguan haiwan terbabit.

“Saya mungkin akan membuat tinjauan di kawasan itu esok (hari ini), tindakan selanjutnya akan dibuat selepas itu,” katanya.