Edisi Tengah: Air reban Babi
Oleh Jaafar Mulub
am@hmetro.com.my
Harian Metro, 8 Feb 2006

TAMPIN: Penduduk Gemas, Bukit Jalur, Sungai Kelamah dan kawasan sekitarnya yang mendapat bekalan air paip dari loji air di Gemas dipercayai meminum air tercemar berikutan kewujudan ladang ternakan babi di kawasan itu, sejak 32 tahun lalu.

Ladang babi yang beroperasi sejak 1974 itu terletak kira-kira 40 meter dari Jalan Batang Melaka-Air Kuning Selatan dipercayai mengalirkan air kumbahan najis ke dalam Sungai Air Kuning sebelum ke Sungai Gemencheh dan seterusnya ke loji pengepaman air di Gemas.

Walaupun disediakan kolam takungan untuk membuang najis babi berkenaan tetapi airnya tetap disalirkan ke sungai.

Sebelum ini, pemilik ladang berkenaan dikatakan menggunakan kaedah moden bagi merawat najis babi berkenaan tetapi disebabkan kos yang meningkat, pemilik terbabit terpaksa menggunakan cara tradisional iaitu mengalirkan air kumbahan ternakannya ke dalam sungai.

Penduduk sekitar juga sering merungut kerana tidak tahan dengan bau busuk setiap hari tetapi permit ladang berkenaan tetap diperbaharui setiap tahun.

Berikutan aduan dan rungutan sejak puluhan tahun lalu itu, Majlis Daerah Tampin (MDT) mencadangkan supaya ladang terbabit ditutup serta-merta.

Yang Dipertuanya, Mohamad Yusof Yunus berkata, pihak MDT tidak puas hati syarat yang dikenakan kepada pengusaha ternakan haiwan berkenaan.

Katanya, MDT serta Jabatan Haiwan, Kesihatan dan Alam Sekitar sering membuat pemantauan di ladang berkenaan dan lawatan terakhir adalah pada 27 Januari lalu.

Katanya, pihak majlis akan membincangkan perkara berkenaan dalam mesyuarat pembangunan daerah yang akan diadakan hari ini.

Menurut, ladang berkenaan terletak berhampiran kawasan perkampungan dan pihaknya banyak menerima aduan penduduk setempat mengenai pencemaran bau dan air sungai.

“Walaupun ada kolam takungan dalam ladang berkenaan bagi merawat najis babi tetapi apabila hujan ia sering melimpahi tebing dan mengalir terus ke Sungai Air Kuning dan Sungai Gemenceh yang juga menjadi sumber air utama untuk loji pengepaman air di Gemas bagi minuman penduduk Gemas, Bukit Jalur, Sungai Kelamah dan Kampung Ayer Kuning Selatan,” katanya.

Harian Metro difahamkan, ladang itu beroperasi sejak 1974 dengan memelihara babi secara tradisional tetapi pada akhir 1988 dan awal 1989, ladang itu telah dinaik taraf mengikut modul ladang ternakan babi moden di Taiwan.

Sejak itu, semua babi dipelihara itu tidak lagi dibiarkan bebas sebaliknya dikurung dalam kandang bertutup dan lantai simennya ditabur dengan habuk papan serta disiram dengan bahan kimia bagi mengelak pencemaran bau.

Seminggu sekali, najis babi itu akan dibersihkan untuk dijadikan baja.

Tiga tahun kemudian, pemilik ladang terbabit tidak mampu menampung kos perbelanjaan yang begitu tinggi disebabkan kos bahan nyahbau yang diimport dari Jepun begitu mahal dan pihaknya terpaksa menggunakan kaedah yang lebih murah iaitu membuangkan semua najis babi itu ke dalam kolam disediakan.

Harian Metro juga difahamkan, permit menternak babi berkenaan diperbaharui setiap tahun.