SEREMBAN: Ternakan burung puyuh secara
komersial kini boleh mendatangkan pendapatan lumayan kerana harga
pasarannya yang stabil dan mendapat permintaan menggalakkan daripada
pengguna.
Seekor puyuh boleh mencapai tahap matang selama 35 hari yang
membolehkannya sedia untuk dijual. Masa ini dianggap singkat dan
penternak tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan hasilnya.
Pasaran harga yang stabil menyebabkan penternakan ini semakin berkembang
maju. Penternak menjual puyuh sekitar RM1.30 seekor dan apabila sampai
ke tangan pengguna ia boleh mencapai harga antara RM1.50 hingga RM2.
Malah, kebanyakan Pasar Tani dan pasar malam sedia membekalkan burung
yang sudah siap disalai dan digoreng untuk terus dimakan.
Sambutan terhadap telur puyuh memang tidak kurang hebatnya daripada
orang ramai. Penternak biasanya menjual 25 biji telur dengan harga
sekitar RM2 kepada peraih, sebelum dipasarkan kepada orang ramai.
Bagi Negeri Sembilan, beberapa projek perintis sudah dijalankan dan
antara yang mula menunjukkan hasil di kompleks Taman Puyuh, dekat Pilin,
Rembau.
Perkembangan pesat ini berlaku kerana teknologi baru dalam bidang
penternakan memungkinkan pembiakan dan pembesaran burung yang selama ini
hidup liar di kawasan hutan dan tanah pamah.
Mereka yang berasal dari kampung sudah tentu sering melihat kelibat
puyuh yang agak sukar untuk didekati, apalagi menangkapnya. Penduduk
kampung biasanya menggunakan perangkap untuk menangkap puyuh ini.
Dagingnya cukup enak sama ada digoreng, rendang dan masak lemak cili api
pun boleh.
Bagi masyarakat Melayu, puyuh memang sering berkait dengan kehidupan
mereka. Sehinggakan ada pantun yang berbunyi: "Tanam pinang rapat-rapat,
biar senang puyuh berlari, ku pinang-pinang tak dapat, ku pujuk-pujuk ku
bawa lari."
Kini, puyuh tidak sukar lagi ditemui kerana sudah ada projek secara
komersial yang menternak puyuh secara besar-besaran. Apa yang menjadi
masalah ketika ini permintaan melebihi penawaran.
Seorang penternak di Taman Puyuh, Pilin, Rembau, Ahmad Endot, 69,
berkata kegiatan penternakan ini lebih mudah berbanding ayam dan jarang
dijangkiti penyakit.
“Apa yang penting kita jaga pemakanan dengan sempurna dan menjaga tahap
kebersihan supaya puyuh ini mudah membiak dan membesar dengan sempurna,”
katanya.
Mengenai pendapatan, dia mengatakan ia memang boleh menghasilkan
pulangan yang memuaskan asalkan setiap penternak rajin berusaha dan
menumpukan sepenuh perhatian terhadap ternakan mereka.
"Memang boleh tahanlah, sebab itu saya boleh menternak puyuh ini sejak
beberapa tahun lalu," kata Ahmad ketika ditemui di ladangnya.
[ Menu Utama ]