Utara: Bau najis babi cemari MRSM Transkrian
Berita Harian, 13 Jan 2003


PERSEKITARAN MRSM di Transkrian yang sentiasa diselubungi bau busuk najis babi
dari kandang berdekatan. – Gambar oleh Baharin Ramly



NIBONG TEBAL: Kakitangan dan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di Transkrian, dekat sini, berdepan suasana kurang selesa, termasuk rasa mual serta meloyakan hampir setiap hari apabila terpaksa menghidu bau najis babi dari ladang ternakan berdekatan.

Keadaan menjadi bertambah teruk setiap kali pemilik ladang terbabit membersihkan najis haiwan itu pada sebelah pagi, menyebabkan persekitaran maktab diselubungi bau yang amat busuk.

Masalah berkenaan dialami oleh kira-kira 900 warga maktab berkenaan sejak lebih setahun lalu, iaitu sebaik saja MRSM itu dibuka pada April 2001.

Masalah itu jika tidak ditangani segera, bukan saja menimbulkan suasana kurang selesa kepada warga maktab berkenaan, malah menjejaskan tumpuan lebih 700 pelajar terhadap proses pembelajaran dan pengajaran.

Penolong Pengetua MRSM Transkrian, Mohd Yusuf Yahaya, berkata beberapa kandang babi yang terletak kira-kira 800 meter saja dari maktab itu tidak sepatutnya dikekalkan di situ.

Katanya, ini kerana bau busuk najis haiwan itu bukan saja mencemari persekitaran, tetapi boleh menjejaskan tumpuan lebih 700 pelajar ketika berada di bilik darjah masing-masing.

“Bagi pelajar tingkatan lima, bau busuk najis babi itu dikhuatiri boleh menjejaskan tumpuan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di MRSM Transkrian, dekat sini.

Mohd Yusuf berkata, masalah itu sudah lama dikemukakan kepada beberapa pihak, termasuk Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar negeri.

Bagaimanapun, katanya, sehingga ini kandang ternakan itu masih belum dipindahkan.

Seorang pelajar tingkatan lima maktab itu, Syazwanie Suhaimi, 17, berkata bau busuk najis haiwan itu cukup mengganggu ketenteraman pelajar hampir setiap masa.

“Pagi-pagi lagi, seawal jam 7 pagi kami sudah mengidu bau busuk najis babi itu. Keadaan itu kadang-kala berlarutan sehingga ke tengah hari dan malam.

‘Keadaan itu menyebabkan kami semua sentiasa berada dalam suasana tidak selesa, lebih-lebih lagi pada waktu makan,” katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Fakhrurzi Kamaruddin, 17, juga pelajar tingkatan lima, berkata pelajar sentiasa terganggu menghidu bau najis babi itu dan ia boleh mengganggu tumpuan terhadap pelajaran.

“Masakan tidak, bermula daripada perhimpunan pagi, hinggalah memasuki kelas, ketika makan tengah hari serta hampir sepanjang malam, kami terpaksa menghidu bau busuk itu.

“Jika keadaan seperti ini berterusan, ia mungkin boleh menjejaskan prestasi pelajaran kami,” katanya.

Sementara itu, pemilik ladang ternakan ayam yang terletak bersebelahan kadang babi itu, H'ng Yong Kheng, 61, berkata bau busuk najis babi turut mengganggu beliau sekeluarga sejak berpuluh tahun lalu, terutama apabila air sisa najis haiwan itu dilepaskan ke dalam parit di depan rumahnya.

“Bagaimanapun, saya tak boleh berbuat apa-apa, kerana masing-masing tinggal di kawasan ini untuk mencari makan,” katanya yang mewarisi ladang ternakan ayam yang diusahakan keluarganya lebih 60 tahun lalu.

H'ng bagaimanapun berkata, keadaan yang menyusahkan kakitangan dan pelajar MRSM itu akan berakhir tidak lama lagi, apabila beliau dan pemilik ladang ternakan babi itu dijangka berpindah dari kawasan itu penghujung bulan ini.

“Kami sedang menunggu bayaran pampasan ganti rugi daripada kerajaan dan akan berpindah dari sini sebaik saja mendapat bayaran itu,” katanya yang bakal mendapat pampasan RM304,985 apabila kerajaan mengambil alih kawasan tanah miliknya seluas kira-kira 0.4 hektar melalui Akta Pengambilan Tanah, 1960.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Teng Hock Nan ketika dihubungi mengesahkan kerajaan negeri sudah mengambil alih beberapa lot tanah yang menempatkan ladang ternakan ayam dan babi itu sejak tahun lalu.

“Prosedur mengambil alih kawasan itu daripada pemiliknya sudah pun selesai dan kini berada di peringkat akhir apabila Jabatan Penilaian Harta diarah menilai bayaran ganti rugi kelengkapan di ladang itu," katanya.


[ Menu Utama ]