Jangan bimbang keselamatan daging ayam di pasaran tempatan
Utusan Malaysia, 15 Jan 2004

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Rakyat negara ini tidak perlu bimbang mengenai keselamatan daging ayam yang dijual di pasaran tempatan kerana ia didapati bebas daripada wabak selsema burung yang kini melanda beberapa buah negara di rantau Asia.

Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar berkata, Jabatan Haiwan telah diarah memastikan penternak ayam sentiasa memberi penekanan terhadap kebersihan di ladang mereka.

Selain itu katanya, jabatan itu sentiasa mengadakan pemeriksaan daging ayam import dari negara-negara luar supaya wabak berkenaan tidak merebak ke negara ini.

``Setakat ini, kementerian tidak menerima sebarang laporan mengenai ancaman wabak tersebut oleh para penternak ayam tempatan.

``Bagaimanapun kita sentiasa melakukan pengawasan bagi daging ayam import dan jika didapati ia dijangkiti, kementerian akan melarang kemasukannya ke negara ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Shariff di minta mengulas mengenai wabak selsema burung yang melanda rantau Asia sehingga menjadi satu ancaman baru selepas wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars).

Utusan Malaysia dalam ruangan Luar Negara hari ini melaporkan rantau Asia menghadapi ancaman terbaru kesihatan apabila para saintis mengesahkan bahawa kematian tiga orang di Vietnam ada kaitan dengan wabak selsema burung yang menyebabkan hampir sejuta ekor ayam mati.

Mohd. Shariff berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai wabak berkenaan kerana ia berlaku di Korea Selatan, China, Vietnam dan Jepun.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengawasi keadaan itu supaya masalah tersebut tidak berlaku di sini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia bahagian daging ayam, Yap Kim Hwah berkata, Jabatan Haiwan telah mengambil langkah-langkah kebersihan di ladang ternakan ayam di negara ini.

Tambahnya, pihaknya sentiasa memastikan daging ayam yang dijual bebas daripada penyakit yang boleh memudaratkan kesihatan manusia.

Beliau memberitahu, penyebaran wabak berkenaan berlaku bagi ayam-ayam kampung di China yang kurang mempunyai imunisasi ketahanan daripada serangan penyakit.

``Ayam ternakan di negara kita merupakan ayam komersial dan sentiasa dijaga bagi memastikan ia tidak dijangkiti penyakit-penyakit tertentu,'' ujarnya.


[ Menu Utama ]