Masyarakat Batak gemar anjing panggang
Oleh Zulkifli Md Ali
Berita Harian, 4 Jan 2004
PERKARA utama terbayang dalam fikiran
kita serta menjadi topik hangat perbualan apabila kita berbicara
mengenai masyarakat Batak di Indonesia ialah soal `Orang Batak garang
dan makan orang'.
Tidak
ketahui mengapa konotasi negatif ini masih kekal hingga sekarang. Apa pun,
saya yang berkesempatan melawat Danau Toba, baru-baru ini bersama 120
penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) anjuran Punca Jitu Travel & Tour Sdn
Bhd berpeluang mendapatkan penjelasan mengenainya ketika kami melawat
perkampungan Batak di sekitar Pulau Samosir, Danau Toba.
Pemandu pelancong kami, Lompo S, lelaki yang boleh bertutur bahasa Belanda
dan Inggeris selain bahasa ibunda serta berwajah cerah tetapi mempunyai
pertalian darah Batak (umumnya berkulit agak gelap) menjelaskan bahawa
kisah orang Batak makan orang adalah cerita lama.
Mungkin beliau malu mengulas lanjut mengenai perkara itu, tetapi akibat
ditanya berkali-kali, akhirnya beliau yang sememangnya bertanggungjawab
memberi penerangan kepada pelancong memulakan cerita.
Mengikut sejarah, 300 tahun lalu, masyarakat di Ambarita, Pulau Samosir
mengamalkan sistem beraja Batak yang menjadi kebanggaan kerana berjaya
mewujudkan masyarakat harmoni lagi disegani penduduk sekeliling.
Satu daripada amalan yang dihormati ialah `pemancungan' iaitu hukuman
penggal tengkuk bagi penjenayah yang melakukan kesalahan dalam kawasan
penempatan Batak.
Antara kesalahan kerap dilakukan pada zaman dulu ialah pencerobohan
masyarakat luar seperti merompak, pencerobohan kawasan, mengganggu anak
gadis Batak dan pelbagai lagi termasuk perkara yang dianggap bukan jenayah
berat bagi masyarakat kita.
Bagi pelaksanaan hukuman itu, raja Batak bersama ketua kawasan, pegawai
kanan serta mereka yang berpengaruh akan bermesyuarat di sebuah tempat
khas bawah pokok rimbun dilengkapi kerusi meja diperbuat daripada batu di
perkarangan istana.
Selain dilengkapi dua deret rumah buluh iaitu Ruma Bolon (didiami raja);
Sopos (tempat menyimpan padi) dan Borotan (tiang mengikat haiwan
peliharaan sebelum disembelih), perkarangan ini mempunyai tugu Gajah
Doplok yang menyambut tetamu di pintu gerbang istana berkenaan.
Tugu Gajah Doplok yang dulunya dikatakan mempunyai kuasa hitam sengaja
diletakkan di pintu gerbang sebagai salah satu usaha menakut-nakutkan
orang yang berniat jahat terhadap penghuni rumah atau menghindari rumah
dikunjungi roh jahat.
Selepas dibicarakan dan didapati bersalah, penjenayah atau penceroboh
dipasung di tempat pemasungan di bawah tangga pintu masuk rumah raja Batak
selama tujuh hari dalam keadaan tangan dan kaki diikat.
Dalam tempoh itu, pesalah akan dihina dengan pelbagai cara sama ada raja,
pegawai dan penduduk. Raja dan keluarganya yang tinggal di rumah itu pula
akan meludah ke arah pesalah setiap kali keluar masuk rumah berkenaan.
Sebaik selesai tempoh pemasungan, pesalah dibawa ke tempat pemancungan
dengan diadakan acara khusus bermula merujuk kepada kalendar Batak untuk
mengetahui tarikh dan masa menjatuhkan hukuman sama ada sesuai atau tidak.
Acara itu turut menggunakan beberapa alat, seperti tongkat yang mempunyai
kuasa ilmu hitam, pisau, parang panjang, selindang ulos untuk menutup mata
pesalah.
Selepas ditoreh belakang badan pesalah dengan pisau dalam keadaan badan
pesalah separuh tertiarap di batu besar. Si penoreh akan memastikan
belakang pesalah berlumuran darah. Mentera pun dibaca, sebelum pesalah
diusung ke batu khas untuk dipancung.
Ia dilakukan bagi menguji ilmu sakti penjenayah jika ada agar ditawarkan
sebelum hukuman dilaksanakan.
Si pemancung, menggunakan kudrat yang ada untuk memancung dan memastikan
tengkuk pesalah dipenggal hingga terpisah daripada badan. Perkara penting
yang perlu diketahui ialah jika si pemancung gagal memenggal tengkuk
hingga putus, dia pula bakal menerima hukuman kerana menjalankan tugas
sambil lewa.
Kepala dan badan yang terpisah itu dibuang ke Danau Toba, manakala
penduduk dilarang menggunakan air danau itu selama seminggu sama ada untuk
minuman atau basuhan. Mengikut kepercayaan, sesiapa yang melanggar
larangan itu akan ditimpa bencana.
Cara hukuman dilaksanakan itu menyebabkan masyarakat Batak dikaitkan
sebagai orang makan orang.
Gambaran itu menyebabkan masyarakat luar menganggap orang Batak makan
orang kerana walaupun sudah berlalu lebih seminggu ikan yang ditangkap
dari Danau Toba pastinya menjadikan mayat penjenayah sebagai makanan dan
apabila ikan ditangkap pula, masyarakat Batak dianggap sebagai memakan
orang.
Seperkara lagi ialah masyarakat Batak zaman dulu dikatakan gemar menghirup
darah manusia sebagai daripada usaha menambah kekuatan ilmu hitam yang
dimiliki.
Lompo menjelaskan: "Bapak-bapak, ibu-ibu, itu cerita lama. Sekarang,
masyarakat Batak tidak begitu. Saya harap, penjelasan itu dapat memberi
kefahaman baru terhadap Batak."
Seperkara lagi perkara pelik bagi masyarakat kita ialah soal makan daging
anjing panggang. Orang kata, lain padang lain belalangnya, lain orang lain
caranya. Bagi kita di Malaysia, soal makan babi bagi masyarakat bukan
islam mungkin suatu yang tidak mustahil, tetapi kita akan berasa lebih
geli dan mual mendapati masyarakat Batak memakan daging anjing panggang.
Malah, hidangan anjing panggang atau dipanggil kuda pendek ditanda dengan
B1, manakala babi atau kerbau pendek ditanda B2 di kebanyakan papan tanda
sepanjang perjalanan kami dari Medan-Parapat-Pulau
Samosir-Sipisopiso-Brastagi-Medan.
[
Menu Utama ]
|