DAGING
kambing dikatakan sebagai panas, mereka yang menghidap penyakit
tekanan darah tinggi mungkin tidak mahu mengambil daging kambing
kerana percaya ia akan meningkatkan tekanan darah.
Namun
pandangan ini disanggah pakar bioteknologi pembiakan, Prof Dr
Ramli Abdullah yang mana katanya, kadar lemak kambing hampir sama
dengan ayam iaitu kira-kira tiga peratus.
Apa yang berlaku ialah mereka mungkin mengambil daging kambing
biri-biri kerana berbanding kambing, peratus lemak dalam biri-biri
ialah sebanyak 16 peratus.
Mengenai panas, sememangnya daging kambing panas dan kerana itu
penduduk di negeri China gemar mengambil daging kambing pada musim
sejuk kerana ia dapat memanaskan badan, katanya.
Katanya, persepsi makan daging kambing boleh meningkatkan tekanan
darah sudah lama di kalangan masyarakat kita dan apa yang berlaku,
faktor psikologi yang mungkin meningkatkan tekanan darah seseorang.
Ini kerana, persepsi itu sudah disematkan dalam kepala dan dengan
mengambil daging kambing, secara psikologi ia mungkin meningkatkan
tekanan darah kerana seseorang itu mungkin berasa risau terhadap
kesan yang mungkin dialami, katanya.
Digolongkan sebagai daging merah, daging kambing mempunyai rasa
unik dan ia dikelaskan sebagai cabrito atau chevon bergantung
kepada usia ternakan ini disembelih.
Cabrito ialah daging kambing yang berusia seminggu dan banyak
digunakan untuk tujuan barbeku serta digemari kumpulan etnik
tertentu, manakala chevon pula daging kambing dewasa.
Bagi 100 gram daging kambing yang dipanggang ia mengandungi 143
kalori, 27 gram protein, 3 gram lemak, 3.7 miligram zat besi, 85
miligram sodium dan 75 miligram kolestrol.
Secara perbandingan, bagi setiap 3 auns daging kambing yang
dimasak ia mengandungi 2.58 gram lemak dan 0.79 asid lemak tepu
berbanding biri-biri yang mengandungi 16 gram lemak dan 7.3 asid
lemak tepu.
Kata Prof Ramli, ini jelas menunjukkan kadar lemak dan kolestrol
pada daging kambing kurang daripada biri-biri dan lembu. Malah,
sebuah universiti di New York juga menjalankan kajian yang mana
daging kambing diberikan kepada penghidap penyakit kardiovaskular.
Seperti juga dagingnya, susu kambing mempunyai khasiat tertentu
dan dijadikan antara susu alternatif, tambahan kepada susu ibu. Ia
dikatakan lebih mudah diresapi, rendah lemak serta laktosa dan
kaya kandungan protein.
Nikotinik asid yang terkandung di dalam susu kambing dikatakan
membantu fungsi pencernaan, memperbaiki kesihatan kulit,
meningkatkan pengaliran darah serta menghalang migrain juga
menghilangkan bau nafas.
Meminum segelas susu kambing panas sebelum tidur mampu memberikan
tidur yang nyenyak dan ia juga baik bagi kanak-kanak dan orang
dewasa yang menghadapi masalah kencing malam (bed-wetting).
Sebuah buku yang ditulis untuk Majlis Penyelidikan Asma dan
Persatuan Eczema Kebangsaan mencadangkan penggunaan produk
berasaskan kambing bagi merawat lelah, eczema serta masalah kulit.