Edisi Tengah: Kosmetik ada lemak babi
Oleh Mohd Amin Jalil
aminjalil@hmetro.com.my
Harian Metro, 6 Jun 2006

SEREMBAN: Lambakan produk kosmetik yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran terutama Thailand ke negeri ini membimbangkan pengguna kerana kandungannya disyaki mengandungi bahan haram seperti lemak binatang berkemungkinan babi.

Antara kosmetik terbabit termasuk jenis sabun muka, sabun mandi dan krim malam wanita yang dipercayai dibawa masuk secara haram oleh ejen jualan yang bertujuan mengaut keuntungan.

Bahan kosmetik yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan itu dijual di merata tempat terutama di pasar raya dan kedai ubat persendirian.

Sehubungan itu, pengguna meminta pihak berkuasa memantau lambakan kemasukan bahan kosmetik kerana selain diragui kandungannya, mereka juga risau penggunaan bahan tanpa kelulusan boleh memudaratkan penggunanya.

Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali Nani, 35, berkata dia pernah membeli produk terbabit tetapi tidak jadi menggunakannya selepas meragui kandungannya.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh daripada beberapa rakan sekerjanya mendapati kosmetik itu mengandungi bahan terlarang dan tidak sesuai digunakan pengguna Islam.

“Saya tidak jadi menggunakan kosmetik itu selepas ia meragukan dan kemudian membawanya kepada Persatuan Pengguna Negeri Sembilan untuk mendapatkan pandangan.

“Pihak terbabit menasihatkan supaya tidak menggunakan kosmetik itu kerana selain tidak memahami apa sebenarnya kandungan dalam produk itu, tulisannya juga tidak difahami kerana menggunakan bahasa Thailand,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus, berkata pihaknya kerap menerima aduan daripada pengguna berkaitan bahan yang meragukan di pasaran.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa tetapi menyarankan kepada pengadu supaya jangan membeli produk luar negara yang tidak diketahui kebersihannya.

Menurutnya, bahan lemak binatang yang menggunakan nama saintifiknya ‘sodium tallowate’ banyak digunakan dalam industri pembuatan luar negara kerana bahannya murah selain mudah diperoleh.

Katanya, pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Kesihatan diminta memantau penjualan produk seperti itu.