
ABDULLAH (kiri) berbincang sesuatu dengan Tajol.
IPOH: Pegawai dan
kakitangan awam perlu meningkatkan mutu perkhidmatan, walaupun mungkin
sudah memberikan perkhidmatan memuaskan, kerana mereka sebenarnya belum
mencapai potensi sebenar.
Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press, Tan Sri Abdullah
Ahmad, berkata perkhidmatan awam, yang kini dianggotai majoriti Melayu
bukan saja dikritik, malah dipandang sinis.
Beliau berkata, kritikan itu seperti menyamakan bangsa Melayu dan
agamanya tidak efisyen, banyak kerenah birokrasi, terbabit dalam
penyelewengan dan salah guna kuasa.
Katanya, keadaan itu lebih buruk, ketika dunia Barat berjaya meyakinkan
dunia supaya percaya bahawa Islam dan keganasan adalah sinonim.
“Kini timbul kebimbangan bahawa ini boleh disalahertikan. Tidak efisyen,
lembap, penyelewengan dan rasuah sinonim dengan Melayu dan Islam,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan kepada kira-kira
1,000 pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam di Perak pada Perhimpunan
Bulanan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang dan Executive Talk di Dewan
Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.
Ucapan Abdullah bertajuk ‘Pembentukan Perkhidmatan Awam Cemerlang,
Tuntutan Semasa’.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali; Setiausaha
Kerajaan Negeri, Datuk Dr Isahak Yeop Mohd Shar; Penasihat Undang-undang
Negeri, Datuk Abdul Rahim Uda dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Shamsul
Baharain Hassan.
Abdullah turut menyokong kebimbangan Pemangku Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kurangnya penguatkuasaan
undang-undang yang menurutnya adalah satu kelemahan yang menjejaskan
masyarakat, khususnya Bumiputera.
Katanya, bagi memastikan orang Melayu dan Bumiputera lain terus berjaya
di peringkat global, mereka mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan
teknologi maklumat (IT) serta menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa
iaitu Bahasa Malaysia dan Inggeris, selain perlu juga mempelajari bahasa
ketiga sama ada Mandarin, Arab, Sepanyol hatta Tamil.
“Bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi dunia, bahasa Sepanyol pula
sedang berkembang pesat, bahasa Mandarin mempunyai pengguna teramai dan
bahasa Arab pula kerana hakikat Islam telah menjadi lebih penting.
“Kalau kita tidak ada kemahiran ini, kita tidak akan mampu bersaing
dengan orang asing.
“Oleh itu, kakitangan awam dan masyarakat Melayu perlu berubah atau
mereka tertinggal kalaupun terkubur,” katanya.
Abdullah juga berkata, kakitangan awam mesti bertindak secara
profesional dan disukai semua bangsa supaya dapat menarik mereka yang
berkebolehan menyertai perkhidmatan itu.
Bahkan, katanya, ramai calon Melayu yang berkebolehan kini enggan
menyertai perkhidmatan itu, malah kebanyakan mereka mengelak daripada
menjadi kakitangan kerajaan sebaliknya mencari peluang pekerjaan di
sektor korporat.
Sehubungan itu, katanya, usaha perlu dilaksanakan bagi menarik lebih
ramai menyertai perkhidmatan awam termasuk menawarkan skim gaji yang
lebih menarik jika perlu.
“Apa akan jadi pada kita jika perkhidmatan kerajaan pada masa depan
diuruskan mereka yang dalam kelas ketiga.
“Ujian sebenar, sama ada individu itu berkebolehan, tidak kira Melayu
atau bukan Melayu, adalah apabila mereka boleh mendapatkan pekerjaan di
luar negara,” katanya.
Abdullah berkata, sistem kuota berjaya menjaga kepentingan Melayu tetapi
mereka perlu keluar dari bergantung kepada sindrom ‘tongkat’ dan zon
selesa.
Mengenai keluhan Pemangku Perdana Menteri dalam ucaptama pertamanya di
majlis ceramah anjuran Persatuan Oxford dan Cambridge Malaysia kelmarin,
berhubung kelemahan di kalangan rakyat Malaysia dari segi pelaksanaan
yang lembap, pengurusan tidak cekap, penyelenggaraan yang tidak
memuaskan, perkhidmatan pelanggan yang buruk dan kewujudan gejala rasuah,
beliau (Tan Sri Abdullah) menyokong keazaman kerajaan untuk
membanterasnya.
“Apa yang perlu sekarang adalah melaksanakan polisi tanpa rasa takut
atau pilih kasih,” katanya.
Abdullah berkata, perkhidmatan awam tidak sebegitu buruk kerana jika
tidak negara tidak mengecapi apa yang diperoleh hari ini.
“Tetapi dengan kurangnya birokrasi dan kerenah birokrasi dan jika wujud
kakitangan perkhidmatan berkualiti dan cemerlang di semua peringkat,
bayangkan apa yang kita boleh capai.
“Kita mungkin hampir mencapai status negara maju.
“Hakikat bahawa kita menjadi contoh kepada negara membangun belum
memadai kerana semua bangsa boleh melakukannya dengan lebih baik lagi.
“Kita mempunyai semua kualiti dari tiga tamadun terbesar iaitu Cina,
Hindu dan Islam tetapi sikap tertentu, terutama yang buruk, merosakkan
imej bangsa dan negara.
“Kita boleh memperoleh lebih daripada itu jika rakyat memfokus terhadap
apa yang ditugaskan kepada mereka.
“Ini satu keajaiban bahawa kita mencapai begitu banyak kemajuan dalam
tempoh singkat walaupun kita dilihat lesu,” katanya.
Abdullah berkata, kelesuan bangsa Melayu perlu segera dihapuskan dan
dipastikan ia tidak terus sebati seperti dialami masyarakat British.
“Lihat apa berlaku kepada Britain. Enam puluh tahun lalu mereka menjajah
dan mengawal satu daripada empayar terbesar di dunia.
“Kelesuan mereka secara amnya membuat mereka hilang empayar dan kini
satu kuasa sederhana kedua.
“Kita sudah mencapai keadaan yang lebih baik dan mesti meneruskannya
dengan lebih berjaya. Kita mempunyai ramuan yang betul,” katanya.
Abdullah berkata, dua kritikan utama terhadap mutu perkhidmatan awam
ialah ia lembap menyelesaikan masalah rakyat serta sikap sambil lewa,
menyebabkan mereka tidak mesra pelanggan.
Beliau berkata, kakitangan perkhidmatan awam dan ahli politik, selain
perlu jujur, perlu juga membuat keputusan cepat dan tidak menunggu
hingga beberapa bulan bagi menjawab surat.
Katanya, sikap segelintir kakitangan berkenaan memburukkan nama
perkhidmatan awam dan negara, walaupun majoriti kakitangan lain adalah
baik.
“Usaha harus dicari bagi menyingkirkan golongan ini yang sesetengahnya
agak ketara.
“Kakitangan itu juga tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak dan perlu
menyokong kerajaan semasa. Jika mereka tidak bersedia berbuat demikian,
lebih baik mencari kerja lain,” katanya.
Abdullah berkata, kakitangan awam ketika ini lebih terpelajar berbanding
sebelumnya tetapi mereka tidak semestinya lebih baik dan beretika.
Katanya, ramai pegawai kanan perkhidmatan awam yang berkhidmat satu
ketika dulu hanya tinggal di rumah teres selepas bersara kerana tidak
mendapat wang haram.
“Tetapi kini kakitangan awam, pegawai penguat kuasa serta ahli politik
hidup melebihi pendapatan mereka,” katanya.
[ Menu Utama ]