Oleh
Mohd Zamri Shafie
FIRMAN Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu
memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih
tidak kerana Allah. Maka, sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedangkan
dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan
itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 173)
Makan dan minum adalah suatu perkara yang harus sifatnya bagi manusia. Oleh itu,
ada suruhan dan larangan daripada Allah bagi aspek pemakanan manusia. Ia adalah
peraturan bagi memelihara daripada terjebak dalam kemudaratan terhadap kesihatan
fizikal dan rohani.
Makanan tidak halal secara maknawiyah amat memberi kesan kepada pembentukan
sahsiah diri dan ahli keluarga. Islam menganjurkan agar umatnya berhati-hati
dalam pengambilan sebarang bentuk pemakanan.
Begitu juga dengan sumber makanan atau rezeki yang disuapkan ke dalam mulutnya.
Unsur riba, rasuah, perjudian dan hasil haram lain wajib dielakkan.
Allah membuat penegasan bahawa rezeki yang diperoleh dengan cara yang tidak
halal akan diberi balasan yang setimpal di akhirat nanti. Firman-Nya bermaksud:
“Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba, padahal mereka telah dilarang
melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang
salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi
orang yang kafir antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah
an-Nisa', ayat 161)
Rezeki daripada hasil haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan
menjadi bahan bakar api neraka. Setiap suap makanan yang tidak halal, diisi ke
perut akan memberikan kesan kepada tindakannya. Sabda Rasulullah s.a.w
bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan (sumber) yang haram, maka
api nerakalah yang paling layak baginya.”
Perilaku seseorang akan berubah dengan sikap atau perangai yang buruk.
Tindakannya akan menjurus kepada hawa nafsu dan mengikut telunjuk syaitan.
Ingatan ini turut dirakamkan menerusi firman-Nya bermaksud: "Wahai sekalian
manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan
janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah
musuh kamu yang terang nyata bagi kamu. Ia akan menyuruh kamu melakukan
kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) kamu supaya berkata
(dusta) terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya)." (Surah
al-Baqarah, ayat 168-169).
Makanan yang halal menjadi syarat utama bagi kesucian amal yang akan diterima
oleh Allah. Orang yang beriman digesa agar segala amalnya bersih, jiwa dan
hatinya digerakkan oleh kekuatan darah yang bersih. Sumbernya pula mestilah
halal dan tubuh badannya dijauhi daripada hiasan pakaian yang bersumberkan yang
haram.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani dari Ibn Abbas, katanya:
"Pernah aku membaca di sisi Rasulullah ayat al-Quran (bermaksud): Wahai sekalian
manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik." (Surah
al-Baqarah ayat 168).
Kemudian Saad Bin Abi Waqqas bangun seraya berkata: “Ya Rasulullah! Aku memohon
kepada Allah supaya dijadikan aku orang yang diperkenankan doanya. Lantas
baginda bersabda : “Wahai Saad! Baguskanlah (Makanlah) makanan engkau, nescaya
engkau adalah orang yang diperkenankan doa (permintaan). Dan demi diri Muhammad
di tangannya, sesungguhnya seorang hamba yang menyuapkan sesuap makanan haram ke
perutnya, Allah tidak menerima amalnya 40 hari. Dan sesiapa di kalangan hamba
Allah yang tumbuh dagingnya dari makanan yang haram, maka api neraka yang lebih
layak baginya.”
Menurut riwayat yang lain, Saad Bin Abi Waqqas yang terkenal sebagai sahabat
Baginda yang diperkenankan doanya. Beliau berkata: “Bahawa aku tidak pernah
mengangkat sesuap makanan ke mulutku melainkan aku tahu dari mana datangnya dan
dari mana keluarnya."
Sabda Rasulullah daripada Abu Hurairah bermaksud: "Sesungguhnya Allah itu baik,
Dia tidak menerima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan
orang mukmin apa-apa yang Dia perintahkan kepada Rasul. Maka, Allah berfirman
bermaksud: “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal
dan kerjakan amal-amal yang soleh. Dan Dia berfirman: Wahai orang yang beriman!
Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada
kamu.
Kemudian ia menyebutkan seseorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut
rambutnya lagi berdebu mukanya, lalu ia menadah kedua-dua tangannya ke langit
(berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya
haram dan pakaiannya haram, dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka
bagaimanakah akan diperkenankan doanya?" (Hadis riwayat Muslim)
Faktor lain yang menjurus kepada aspek penting dalam mengambil makanan yang
halal juga bersangkut-paut dengan pembentukan kesempurnaan iman. Iman amat
berkait rapat dengan hati atau jiwa. Sekiranya sesuap makanan itu tidak halal ia
memberi kesan langsung terhadap peningkatan iman dan takwa seseorang itu kepada
Allah. Jika hatinya dicemari dengan unsur-unsur yang boleh melemahkan keimanan
dan keyakinan yang menjadi dasar kehidupan umat Islam.
Sabda Nabi yang diriwayatkan daripada Anas bermaksud: "Tidak lurus iman
seseorang hamba hingga (lurus dulu) hatinya." Iman yang mantap akan menggerakkan
kepada amal kebaikan dan sebaliknya.
Kebaikan dan kejahatan amat bergantung kepada hatinya sebagai pusat menggerakkan
arahan. Hati dan jiwa perlu dipelihara dan disuburkan dengan iktiqad yang benar,
kepercayaan yang luhur dan keyakinan yang bersih daripada sebarang kekotoran.
Untuk menjadi umat yang kuat dari segi mental dan fizikal, pemakanan yang
berkualiti dan seimbang wajar dibudayakan sebaiknya. Fitrah kejadian manusia
menghendaki setiap apa yang diterima oleh tubuh badan mestilah yang terbaik.
Tubuh yang baik akan mencerna kehidupan yang produktif dan progresif, seterusnya
menjadi umat yang terbaik.
Kesejahteraan hidup haruslah diusahakan oleh tangan manusia, sekiranya manusia
lalai dan alpa, maka akan lahirlah masyarakat yang lemah dan tidak bermaya.