|
KUALA
LUMPUR: “Hello, ini bilik gerakan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH),
saya nak buat aduan mengenai jiran saya ada bela ayam. Boleh datang
hantar orang tangkap ayam dia tak? Saya takut mati kena penyakit
selesema burung,” begitulah antara panggilan yang diterima petugas bilik
gerakan di Putrajaya.
Jurucakap bilik gerakan itu berkata, panggilan seperti itu diterima
daripada individu yang bimbang terkena jangkitan virus avian influenza
H5N1 atau selesema burung, selepas kematian 40 ayam kampung di Batu 4
1/2 Jalan Genting-Kelang pada 8 Februari lalu.
“Sejak talian dibuka, kami dihujani ratusan panggilan dari sekitar
Lembah Klang berkaitan wabak selesema burung. Pada hari pertama saja,
kami melayan lebih 100 panggilan, namun kebanyakan panggilan hanya
membuat aduan kurang berasas.
“Ini kerana ada yang meminta kami memusnahkan ayam peliharaan milik
jiran mereka yang tiada kaitan dengan wabak ini dan jauh dari tempat
kejadian,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Menurutnya, walaupun petugas JPH ‘pening kepala’ menjawab panggilan
sedemikian, tetapi pemanggil tetap dilayan dengan baik, |
malah
petugas memberi penjelasan terperinci supaya mereka tidak salah faham
mengenai wabak yang boleh membunuh itu.
“Mungkin pemanggil sebegini tidak menyukai jirannya memelihara ayam,
tetapi takut untuk meluahkan perasaannya kepada jiran itu dan
dipendamkan saja dalam hati.
“Oleh itu, apabila wabak ini muncul, mereka mengambil kesempatan untuk
mengadu kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap jiran
itu,” katanya.
Katanya, dalam menangani panggilan itu, petugas JPH menggunakan
pendekatan berhemah dengan menyoal pemanggil yang bimbang itu jika
terdapat tanda virus avian influenza H5N1 menular di kawasan kediaman.
“Kami tetap menyiasat panggilan seperti ini dengan menyoal pemanggil
jika terdapat tanda yang menunjukkan kehadiran wabak ini di tempatnya.
Seandainya, tanda yang diberikan mirip kepada virus avian influenza,
kakitangan JPH akan turun padang bagi memastikan kesahihannya.
“Kami juga menerima aduan penemuan burung mati. Jika begini, kami akan
tanya |
bilangan burung yang mati itu dan adakah penemuan itu berlarutan
sehingga dua atau tiga hari.
“Seandainya hanya seekor burung mati ditemui, kami akan minta
pemanggil ini segera mengutip bangkai burung itu menggunakan sarung
tangan dan menanamnya di kawasan terpencil,” katanya.
Menurut jurucakap itu, pihaknya juga menerima panggilan dari negeri
lain yang berminat mendapatkan perkembangan terkini di kawasan
kejadian.
“Namun, ada panggilan dari Melaka dan Sabah yang melapor mengenai
tanda-tanda wabak ini di tempat mereka.
“Dalam hal ini, mereka perlu merujuk kepada JPH negeri masing-masing
dan jika perlu kakitangan negeri berkenaan akan diminta menyiasat.
“Namun, setakat ini belum ada lagi kes membabitkan wabak ini dikesan
di negeri lain. Kes hanya dikesan berlaku di tempat kejadian awal
dilaporkan.
“Apapun, kegiatan pemantauan diteruskan dan pemusnahan dilakukan
jika didapati perlu,” katanya. |