Pemakanan: Susu kalsium tinggi, rendah lemak kuatkan tulang
Berita Harian, 21 Mei 2003
 


GOLONGAN generasi muda di negara ini, tidak ramai yang meminum susu. Berdasarkan kaji selidik budaya minum susu masyarakat Asia menunjukkan, golongan utama meminum susu ialah di kalangan dewasa yang mencapai usia 40-an ke atas di samping, golongan kanak-kanak.

Sementara, kebanyakan yang lain minum susu mencampurkannya bersama minuman lain seperti kopi dan teh.

Pengurus Jenama New Zealand Milk (Malaysia), Ivy Yeoh, berkata minum susu setiap hari tidak dijadikan satu amalan dalam kehidupan harian di kebanyakan kalangan masyarakat Asia. Walaupun, keperluan minum susu adalah penting, ia masih tidak digemari ramai.

Katanya, susu pada asasnya ialah makanan berkhasiat yang lengkap dan penting. Susu membekalkan kalsium untuk membina dan mengekalkan kesihatan tulang serta membantu mencegah osteoporisis. Justeru, ia perlu diambil bukan pada peringkat kanak-kanak saja sebaliknya, sepanjang hayat kerana setiap peringkat usia, pelbagai zat tambahan diperlukan seperti zaman kanak-kanak, ketika mengandung, selepas mengandung dan ketika melewati usia 30-an serta pada usia tua.

“Persepsi biasa di kalangan orang muda ialah osteoporosis hanya perlu dikhuatiri oleh golongan warga tua saja. Ini tidak benar sama sekali. Malah, ia adalah sebaliknya. Orang dewasa yang semakin lanjut usia tetapi mempunyai ketumpatan tulang yang tinggi akan berupaya menangani osteoporosis,” kata Yeoh.

Beliau berkata, sebab lain susu tidak diminum setiap hari ialah kerana kurangnya pengetahuan mengenai pembinaan tulang. Ada yang berpendapat, pembinaan tulang dikaitkan dengan tumbesaran ketinggian. Kenyataan itu salah kerana peringkat usia akil baligh adalah tempoh di mana berlakunya tumbesaran tulang rangka yang giat pada individu. Kemuncak jisim tulang kebanyakan individu mencapai pada lingkungan usia 30-an dan kemudian akan mula kehilangan jisim tulang secara perlahan-lahan.

Yeoh berkata, data terkini saranan pengambilan Diet oleh Institut Perubatan Amerika Syarikat atau US-DRI dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi golongan dewasa yang masih muda ialah 1,000 mg kalsium sehari. Bagaimanapun, kajian menunjukkan kebanyakan generasi muda di negara ini tidak memenuhi jumlah yang disyorkan itu. Malah, ada yang langsung tidak mengambil berat mengenai pengambilan kalsium dalam diet harian mereka.

“Pengambilan kalsium di kalangan kebanyakan masyarakat di negara Asia ialah hanya 30 peratus dan Malaysia mencatatkan jumlah paling rendah, iaitu 303 hingga 450 mg sehari. Pengambilan kalsium yang rendah itu adalah faktor utama yang dikaitkan dengan osteoporosis,” katanya.

Kata Yeoh lagi, tiada sumber kalsium lain yang boleh diserap oleh badan lebih banyak seperti susu dan produk tenusu.

Katanya, menyedari kepentingan itu, New Zealand Milk (Malaysia) Sdn Bhd memperkenalkan versi baru Anlene, susu kalsium tinggi rendah lemak Anlene Active. Ia dilancarkan oleh Pengurus Pemasaran New Zealand Milk (Malaysia ), Gan Siew Yew di Suria , KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sasaran produk terbaru itu ialah generasi muda kerana ia mengandungi rumusan BoneMax, gabungan nutrien yang dirumus secara saintifik bagi membantu membina tulang lebih kuat dan memastikan golongan itu dapat menikmati gaya hidup cergas pada masa kini dan lebih berdikari pada masa mendatang.

Produk baru itu diperkaya lagi dengan vitamin D3, vitamin larut lemak yang diperlukan oleh badan untuk menyerap kalsium secara berkesan.

Rangkaian Anlene Active ada jenis susu tepung atau minuman sedia diminum seperti UHT dan susu pasteur, memudahkan golongan dewasa menjaga kesihatan tulang mereka dan pada masa yang sama terus menjalani gaya hidup mereka yang sibuk.


[ Menu Utama ]