KALI pertama berkunjung ke Teluk Intan, Perak – mata pasti
terpegun melihat premis lama dan usang yang diubahsuai
menjadi sarang burung layang-layang. Pengunjung juga akan
pasang telinga mendengar rakaman bunyi siulan burung
menerusi corong pembesar suara.
Bunyi siulan burung dari bumbung bangunan bertujuan memujuk
dan menarik kehadiran burung layang-layang supaya singgah di
premis berkenaan. Malah, orang ramai yang lalu lalang di
premis usang itu juga akan berhenti sejenak untuk
memerhatikan burung yang keluar masuk dari celah lubang
sempit di bangunan itu.
Tidak kurang 20 unit premis lama ditutup sepenuhnya kecuali
lubang kecil sebagai ruang pernafasan dan laluan keluar
masuk burung layang-layang. Itulah rumah persinggahan burung
layang-layang yang mendatangkan rezeki kepada puluhan
peniaga.
Burung layang-layang berbulu putih dan hitam di sekitar
Teluk Intan dikenali dengan nama saintifiknya `Aerodranus
Fuchipaga'. Selain itu, ada tiga lagi spesies yang dikenali
sebagai `Collocalia Fuchipaga'; `Collacolia Germani' dan `Collocalia
Maxima' dan ketiga-tiga spesies ini banyak ditemui di pantai
timur dan selatan Semenanjung.
Pegawai Daerah Hilir Perak, Zainal Abidin Omar berkata, jika
dilihat dari sudut positif kedatangan burung berkenaan boleh
menarik kehadiran pelancong ke daerah itu bagi menyaksikan
dengan lebih
dekat keistimewaannya.
Beliau berkata, keunikan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya
kerana burung layang-layang tidak boleh dipaksa dan hanya
akan membuat sarang mengikut keselesaan serta selepas
memastikan sarang yang bakal dibina benar-benar selamat.
Jika diawasi sekali pun, banyak lagi burung spesies lain
yang akan datang ke kawasan itu dan menimbulkan masalah yang
serupa terutama membabitkan masalah kebersihan.
"Sehingga kini, hanya terdapat satu rungutan yang tidak
berpuas hati terhadap masalah itu bagaimanapun, jika diamati
sarang burung layang-layang sebenarnya adalah bersih.
"Malah, apa yang lebih penting lambat laun usaha `memelihara'
burung itu boleh dikomersialkan sekali gus menjadikan harga
sarang burung rendah berbanding sekarang, berikutan mudah
didapati di pasaran," katanya.
Bagaimanapun, Zainal Abidin berkata, sehingga kini tiada
sebarang permit dikeluarkan bagi pemilik bangunan mengubah
suai premis mereka bagi tujuan itu.
Apa yang dibimbangkan, katanya, akan timbul masalah sarang
burung yang dibina di atas restoran atau kedai makan
lebih-lebih lagi ada 50 hingga 60 pengusaha sarang burung
layang-layang membabitkan lebih 30 premis di sekitar Teluk
Intan.
Di daerah Hilir Perak, lebih 40 penternak burung
layang-layang spesies itu menjadi ahli Persatuan Pedagang
Sarang Burung Hilir Perak (Hilir Perak Edible Bird Nest
Merchant Association Perak).
Dengan yuran pendaftaran RM100 dan
yuran tahunan RM200, ahli persatuan boleh menyewa bangunan
lama pada kadar RM400 hingga RM500 sebulan.
Malah, pemilik terpaksa mengubah suai bangunan yang dipilih
mengikut kesesuaian habitat burung berkenaan yang
membabitkan belanja hingga mencecah RM20,000 hingga
RM30,000.
Pada peringkat permulaan pemeliharaan burung layang-layang
di dalam bangunan pada tahun 70-an tidak membebankan kerana
kadar sewa bangunan lama hanya RM200 hingga RM300 sebulan.
Bagaimanapun, selepas mendapati aktiviti pemeliharaan itu
semakin mendapat permintaan dan mendatangkan hasil lumayan,
sewanya mencecah sehingga RM500 sebulan.
Seorang penternak burung layang-layang memberitahu, dia
hanya mendapat pulangan kos selepas lima tahun, itu pun jika
bangunan mereka dipilih menjadi kediaman burung
layang-layang.
Lendir yang dikeluarkan burung layang-layang dikatakan
berkhasiat bagi warga tua dan apa yang lebih menarik ialah
khasiatnya dikatakan dapat mengembalikan kekuatan tenaga
batin.
Lazimnya, penyediaan sarang burung layang-layang ialah
dengan mencampurkannya dalam sup sayur atau cendawan dan
harganya boleh mencecah sehingga RM120 semangkuk mengikut
harga pasaran restoran di negara ini.
Katanya, semua sarang burung dari Hilir Perak dijual kepada
agensi tertentu yang datang memungutnya setiap tiga bulan
daripada lebih 30 penternak spesies itu di daerah ini.
"Sarang burung layang-layang berkenaan banyak dieksport ke
Thailand, Taiwan dan Hong Kong. China bagaimanapun,
mendahului negara lain kerana permintaan yang amat tinggi.
"Ramai yang mengaitkan pengusaha sarang burung layang-layang
dengan kekayaan. Sebenarnya tidak semua penternak burung
layang-layang dengan mudah akan menjadi kaya kerana semuanya
bergantung kepada nasib semata-mata," katanya.
Burung layang-layang ada pilihan sendiri untuk menentukan
bangunan mana yang sesuai untuk dijadikan kediaman mereka.
Katanya, kebanyakan penternak burung melakukan kerja itu
sebagai kerjaya sambilan untuk memenuhi masa lapang di
samping `mencuba nasib'.
Difahamkan, bunyi burung layang-layang yang dipasang itu
menjadi pemangkin kepada kumpulan burung berkenaan untuk
singgah dan menetap terus di bangunan yang terpilih.
Seorang pemilik kediaman burung yang tidak mahu namanya
disiarkan berkata, beliau sudah menyediakan kediaman burung
di beberapa bangunan lama di sekitar Teluk Intan sejak lima
tahun lalu.
Semuanya bergantung kepada nasib kerana tidak seorang
pemilik pun yang boleh memaksa burung layang-layang singgah
di bangunan mereka. Ada yang menunggu begitu lama sehingga
lebih lima tahun tetapi bangunan mereka tetap tidak menarik
perhatian burung layang-layang.
"Dengan tujuan itu mereka akan berlumba-lumba berusaha
menarik perhatian burung layang-layang yang berkeliaran
untuk menetap di kediaman yang mereka sediakan di bangunan
masing-masing termasuk memasang bunyi-bunyian," katanya.
Langkah meletakkan makanan di dalam bangunan yang disediakan
bertujuan menarik minat burung juga kadang-kadang tidak
mendatangkan hasil.
Dia menganggarkan pemilik kediaman burung layang-layang
memerlukan 120 sarang untuk mendapatkan sekilogram sarang
burung yang sudah dibersihkan.