Hasil lumayan

 
  Harian Metro, 30 Mei 2005  

 

DEMI mengaut keuntungan, beberapa pemilik premis di negara ini sanggup mengubah suai terutama kedai atau bangunan tinggal, untuk dijadikan sarang bagi burung layang-layang.


Ini kerana sarang burung berkenaan dikatakan boleh membawa pulangan lumayan hingga RM10 juta setahun kerana ia dijual pada harga antara RM4,000 hingga RM12,000 sekilogram bergantung kepada kualitinya.

Difahamkan, lebih 12,000 premis di seluruh negara dijadikan sebagai sarang burung layang-layang dan fenomena itu semakin ketara khususnya di Johor.

Wartawan Harian Metro, MOHD RAMZI SANNY dan IBRAHIM ISA mengupas masalah itu yang didakwa turut mengganggu kententeraman dan kesihatan awam.

JOHOR BAHRU: Pengusaha sarang burung layang-layang di bangunan kedai dan kediaman yang dikesan semakin berleluasa kebelakangan ini dipercayai menjalankan kegiatan itu secara haram kerana tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Difahamkan pengusaha industri terbabit meneruskan perusahaan mereka dengan membelakangkan undang-undang berikutan pulangan lumayan iaitu kira-kira RM10 juta setahun.

Ini disebabkan harga sarang burung layang-layang itu dijual antara RM4,000 hingga RM12,000 sekilogram bergantung kualitinya.

Kini, ramai pengusaha bukan saja di bandar utama di negeri ini bahkan di seluruh negara mengubah suai rumah kedai dan kediaman mereka untuk dijadikan sarang burung layang-layang atau dikenali burung walit.

Difahamkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak mengeluarkan lesen membenarkan bangunan diubah suai sebagai sarang burung itu untuk tujuan komersial.

Walaupun industri ini berpotensi dan memberi pulangan lumayan, pihak berkuasa belum mengeluarkan lesen mengusahakan industri sarang burung itu.

Ini kerana sebelum ini burung layang-layang adalah spesies dilindungi sepenuhnya tetapi diturunkan status kepada haiwan yang dilindungi yang bermaksud boleh dijadikan perusahaan.

Bagaimanapun pengusaha perlu mendapat lesen sebelum mengusahakan sarang layang-layang.

Menurut sumber, setakat ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) belum mengeluarkan lesen bagi perusahaan ini.

Selain itu, pembesar suara berkuasa tinggi yang mengeluarkan bunyi bising suara burung itu didakwa mengganggu keselesaan dan mencetuskan rungutan.

Harian Metro difahamkan kira-kira 12,000 premis di seluruh negara yang menjalankan perusahaan itu dengan sebahagian besar di rumah kedai dan kediaman dalam kawasan bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata kerajaan menyedari perusahaan sarang burung layang-layang semakin mendapat sambutan di negeri ini dan banyak aduan diterima.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit dengan mengeluarkan amaran dan menyita dalam operasi bersepadu seperti yang dilakukan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) Februari lalu.

“Semua PBT diarah memantau pengusaha yang mengubah suai rumah kedai dan kediaman sebagai tempat sarang burung layang-layang,” katanya.