Projek Ternakan Kerbau Murrah Di Langkawi
Bernama, 17 Nov 2005

ALOR STAR, 16 Nov (Bernama) -- Sejumlah RM1.26 juta diperuntukkan bagi menjalankan projek penternakan 2,060 ekor kerbau jenis Murrah, yang berasal dari India, di Kampung Nyior Chabang, Langkawi.

Pemangku Menteri Besar Datuk Mahdzir Khalid hari Rabu berkata projek fasa satu yang dijalankan secara berkelompok itu telah mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan akan dimulakan tidak lama lagi melibatkan 20 penternak.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini sebagai menjawab soalan Datuk Md Hasan Bulat (BN-Ayer Hangat) mengenai hasrat kerajaan negeri untuk membiak kerbau secara berskala besar di Langkawi.

Mahdzir berkata fasa kedua yang melibatkan penstrukturan semula penternakan kerbau yang menghasilkan susu itu di empat buah kampung di Langkawi akan turut dijalankan dengan menelan belanja RM4 juta.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Affifudin Omar (BN-Kuala Nerang) mengenai mengapa Langkawi dipilih dan sama ada kerajaan negeri berhasrat untuk menjalankan projek itu di tanah besar, Mahdzir berkata Langkawi dipilih kerana jumlah kerbau yang ada di pulau itu sama banyak dengan yang terdapat di tanah besar.

 

Beliau berkata Langkawi turut memiliki habitat yang sesuai dan mengikut sejarah, merupakan satu-satunya daerah yang tidak pernah dijangkiti penyakit kuku dan mulut di negeri itu.

Mahdzir berkata kerajaan negeri turut berhasrat untuk mengembangkan projek penternakan kerbau itu ke daerah-daerah lain di tanah besar bergantung kepada kejayaan di Langkawi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah pula berkata sejumlah 920 projek perumahan dibina oleh pihak swasta di Kedah sejak tahun 2000.

Menjawab soalan Datuk Mohd Hadzir Ismail (BN-Merbau Pulas) mengenai keperluan tanah perkuburan dengan pertambahan taman-taman perumahan, beliau berkata kerajaan negeri memang memberi perhatian berhubung aspek itu dengan mengambil tanah di kawasan tertentu untuk tujuan berkenaan.