LAZIMNYA
haiwan juga tidur pada waktu malam. Hanya beberapa jenis
haiwan saja yang bergerak aktif pada waktu malam untuk
memburu mangsa dan mencari makanan.
|
Tapi
apabila haiwan dipaksa bangun kerana tidak tahan dengan suluhan
lampu terang benderang dan riuh-rendah suara manusia, ia adalah
sesuatu tabiat luar biasa.
Begitulah yang berlaku pada Zoo Negara di pinggir Kuala Lumpur sejak
dua tahun lalu apabila pihak pengurusan ‘mengarahkan’ sebahagian
haiwan zoo itu bangun untuk bergurau senda dan bermesra dengan
pengunjung menerusi program ‘Zoo Negara By Night’.
Pengarah Zoo Negara, Dr Mohamad Ngah, berkata menerusi program itu,
keluarga yang sibuk pada waktu siang masih berpeluang menghayati
kehidupan haiwan pada waktu malam.
Jika anda beranggapan adalah membazir melawat haiwan pada waktu
malam kerana mereka tidak aktif, maka tanggapan itu tidak tepat
kerana kebanyakan haiwan mula aktif selepas terbenamnya matahari.
Berikutan itu, waktu malam adalah masa paling sesuai untuk menikmati
keunikan pola kehidupan haiwan berjenis itu antaranya rusa, kucing
liar, musang, harimau, ular, landak, tapir, badak air dan segelintir
spesis burung.
Seperti
menukar giliran kerja, ada juga haiwan yang tidak aktif pada waktu
malam seperti monyet menyebabkan kawasan penempatan haiwan itu
ditutup untuk lawatan bagi membolehkan mereka berehat.
Bagaimanapun, jika anda berhajat untuk meninjau kehidupan singa,
anda mungkin tidak dapat melihat haiwan itu bergerak aktif kerana
fakta menunjukkan singa tidur sehingga 20 jam sehari, tanpa mengira
siang atau malam. Anda dikira bernasib baik jika dapat melihat singa
bergerak aktif,
Dr
Mohamad berkata, Zoo Negara by Night dibuka pada 2003 sempena
sambutan ulang tahun ke 40 pembukaannya. Ia hanya dibuka pada hari
Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula jam 9 pagi hingga 10 malam.
Sebaik melangkah masuk ke dalam Zoo Negara, pengunjung diberi
peluang bersemuka dalam jarak dekat, berinteraksi dan mengambil
gambar dengan haiwan tertentu seperti ular sawa yang dikawal pegawai
zoo.
Pengunjung boleh memilih untuk melawat zoo dengan berjalan kaki atau
menggunakan kereta api mini yang disediakan secara percuma dan
dengan menaiki kereta api mini itu, pengunjung dibawa melawat hampir
60 peratus kawasan zoo daripada keseluruhan keluasan 16 hektar.
Selain melawat secara bebas ke mana-mana lokasi penempatan haiwan,
pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan pelbagai haiwan yang
menunjukkan kemahiran masing-masing bermula jam 8 malam.
Ada pelbagai aksi menarik dipertontonkan kumpulan haiwan itu
antaranya telatah memerang mengutip sampah yang bertaburan untuk
dibuang ke bakul sampah selain pertunjukan singa laut.
“Pegawai zoo melatih semua haiwan ini sejak kecil hinggalah mahir.
Ia mengambil masa yang agak lama dan memerlukan latihan berterusan
hampir setiap hari,” katanya.
Pada sesetengah kawasan penempatan haiwan seperti rusa dan badak
air, pengunjung dapat merasai pengalaman menyuap makanan yang
ditetapkan dan dibekal Zoo Negara sambil mengusap haiwan berkenaan.
|
Dr
Mohamad berkata, pihaknya kini tidak lagi menggunakan kaedah
kurungan terhadap haiwan tetapi membuat halangan seperti kawasan
parit berair dan tembok bagi menghalang haiwan terlepas tetapi bagi
burung, pihaknya terpaksa menggunakan sangkar.
“Bagi
burungRanggung Padi pula, iaitu sejenis spesis bangau, kita
melepaskan mereka untuk terbang dan burung ini mampu bergerak
sehingga ke Puchong dan Putrajaya tetapi akan kembali semula ke zoo
selepas itu,” katanya.
Beliau berkata, sejak Zoo By Night dibuka, sambutan pengunjung
adalah menggalakkan iaitu kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung pada
waktu malam berbanding sehingga 4,000 pada siang dan kebanyakan
pengunjung adalah keluarga. Jumlah pengunjung teramai bagi Zoo
Negara menjangkau 15,000 orang sehari pada musim cuti sekolah atau
perayaan.
“Memang jumlah kehadiran pengunjung pada waktu malam kurang sedikit
berbanding pada siang tetapi antara tarikan lawatan pada waktu malam,
pengunjung bagaikan merasai sendiri suasana berada di dalam hutan
bersama keluarga.
“Tingkah
laku haiwan ketika siang berlainan dengan malam, contohnya ia
mungkin agresif dan keluar memburu pada malam tetapi pada siang ia
membuat aktiviti lain dan pengunjung meninjau sendiri kehidupan
haiwan itu,” katanya.
Lawatan ke
Zoo Negara pada waktu malam bukan saja membekalkan pengetahuan umum
mengenai alam haiwan kepada pengunjung tetapi turut dapat
mengeratkan hubungan kekeluargaan menerusi sesi lawatan yang
menggembirakan.
FAKTA
Zoo Negara
- Diiktiraf sebagai zoo bertaraf dunia apabila berjaya membiakkan
beberapa haiwan yang hampir pupus antaranya spesis buaya Junjulung
dan burung Batak Upih.
- Turut menyediakan pakej sambutan hari keluarga dan aktiviti
mencari harta karun dan merancang beberapa pakej lagi antaranya
perkahwinan di dalam zoo dan seminar mingguan mengenai haiwan.
- Fungsi zoo adalah rekreasi, pendidikan, penyelidikan dan
pemuliharaan.
- Harga haiwan yang dipertunjukkan adalah mahal antaranya seekor
penguin berharga kira-kira RM30,000 dan singa laut kira-kira
RM400,000.
- Pengunjung yang ingin melawat Zoo Negara dikenakan bayaran RM10
bagi dewasa, kanak-kanak (RM5) serta rombongan sekolah (RM3) dan
bayaran itu dipercayai termurah di seluruh dunia.
Antara haiwan yang aktif pada waktu malam:
- Tapir: Agak pemalu pada waktu siang tetapi jauh lebih mudah
didekati pada waktu malam.
- Landak: Berehat pada siang hari bagi mengumpul tenaga untuk
berkeliaran pada waktu malam.
- Burung: Ada burung berjenis ‘nokturnal’ seperti burung hantu yang
aktif pada waktu malam.
- Ular: Kebanyakan ular memburu pada waktu malam.
- Badak air: Haiwan semi-akuatik ini akan keluar dari kolam mereka
pada waktu malam untuk mencari makanan. |