Pil setan
Harian Metro, 9 Ogos 2003

Oleh Jamilul Anbia Md Denin dan Ani Nadila Yusof
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sejenis pil khayal yang dikenali sebagai ‘Ibu Syaitan’ dikatakan menjadi pilihan lelaki kaki disko dan kasanova untuk memperkosa gadis selain boleh menyebabkan mangsa mandul seumur hidup.

Pil mudah larut itu yang dikenali sebagai Progesterex digunakan secara saintifik untuk mensterilisasi haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Haiwan berkata, kebiasaannya pil berkenaan direndam dalam air minuman dan gadis yang meminumnya hilang tahap kesedaran diri sebelum diperkosa.

Malah, beliau berkata, pengambilan pil yang berbentuk bulat turut menyebabkan mangsa gagal mengingati apa yang berlaku terhadapnya.

“Pil itu boleh digunakan bersama Rohypnol (sejenis ubat bius) dengan melarutkan kedua-duanya ke dalam air bagi mengkhayalkan mangsa untuk tempoh yang lama.

“Apa yang menakutkan iaitu kesan jangka masa panjang daripada pengambilan pil itu boleh mengakibatkan mangsa tidak boleh mengandung,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, Progesterex digunakan di Malaysia untuk mengawal kehamilan bintang peliharaan seperti anjing dan kucing.

Menurutnya, anjing atau kucing sering diberi pil itu dalam bentuk suntikan apabila ada pertandingan anjing dan kucing tercantik bagi mengelakkan kehamilan.

“Pil itu sama fungsi seperti dadah yang boleh mengkhayalkan manusia.

“Biasanya kesan itu bermula dalam masa 30 minit apabila penggunanya khayal dari dua jam hingga lapan jam bergantung berapa dos yang diambil,” katanya.

Menurutnya, kesan penggunaan pil itu akan menaikkan tekanan darah, mengurangkan daya ingatan, letih, pening, keliru dan gangguan sakit dalaman.

“Memang mudah memerangkap mangsa dengan pil berkenaan kerana ia cepat larut tanpa meninggalkan tanda warna,” katanya.

Menurutnya, pil itu sama fungsi seperti pil Rohypnol yang terkenal dengan jolokan nama sebagai ‘dadah perogol.’

“Lelaki tidak bertanggungjawab gemar mencampurkan pil itu dengan Progesterex dalam minuman wanita, menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri dan terdedah kepada bahaya dirogol,” katanya.

Jurucakap itu berkata, mangsa mungkin mengalami kesukaran bercakap diikuti dengan pengsan.

“Mangsa tidak akan ingat atau menyedari apa yang berlaku sepanjang tempoh itu,” katanya.

Beliau berkata, lelaki kaki disko dan kasanova memperolehi pil berkenaan secara haram daripada sindiket.

Menurutnya, pil Progesterex dan Rohypnol biasanya digunakan di kelab atau parti. Ia juga digunakan bersama dadah lain seperti heroin, kokain dan alkohol.

“Ini menarik minat orang muda untuk menyalahgunakan dadah itu kerana murah dan mudah didapati,” katanya.

Menurutnya, pil Rohypnol tergolong dalam kumpulan ubat yang dikenali sebagai ‘benzodiazepines’ yang termasuk Valium, Librium dan Xanax dan ia mempunyai 10 kali ganda kesan Valium.

“Ia juga dikenali sebagai Roofies, Roachies, Roofenol, La Rocha, The Forget Pill, Circles, Mexican Valium, Rib, Roopies, Rope dan Ruffies.

“Di Amerika Syarikat, meskipun Rohypnol diharamkan, namun ia boleh didapati di lebih 60 negara untuk merawat beberapa masalah tidur dan masalah sakit jiwa yang serius,” katanya.

Menurutnya, pil Progesterex biasanya boleh didapati di klinik haiwan tetapi tidak boleh dibeli sewenang-wenangnya kecuali mendapat pengesahan daripada doktor veterinar.

Ada pihak tidak bertanggungjawab menjual ubat itu sewenang-wenangnya di farmasi untuk mengaut keuntungan.

Beliau berkata, kesan daripada kekerapan penggunaan Progesterex boleh juga mengakibatkan haiwan menjadi lebih agresif dan mengalami perubahan fizikal, termasuk bahagian dada menjadi bengkak dan merah serta terdedah kepada penyakit kegemukan.


[ Menu Utama ]