Anjing Laut Tarikan Terbaru Underwater World Langkawi  
  Bernama 28 Ogos 2004  

 

 
RUMAH BARU…Salah seekor anjing laut yang diterbangkan dari Hokkaido, Jepun tiba di Underwater World, Langkawi. Anjing-anjing laut ini akan dikuarantinkan terlebih dahulu sebelum dipertontonkan kepada para pengunjung.
 

LANGKAWI, 28 Ogos (Bernama) -- Tiga ekor anjing laut yang baru dibawa dari Jepun bakal menjadi daya tarikan terbaru pengunjung ke Underwater World Langkawi (UWL), di sini.

Pengurus Besar UWL, Tanzil Md Noor berkata anjing laut itu akan dikuarantin terlebih dahulu di pusat berkenaan sebelum dipertontonkan kepada pengunjung hujung tahun ini.

Katanya dua anjing laut betina yang berusia antara satu dan empat tahun, seberat antara 90 dan 60 kg setiap ekor yang tiba Sabtu, dibeli dengan harga RM25,000 tiap seekor.

"Seekor lagi anjing laut jantan akan tiba tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, di sini hari ini, selepas menghadiri majlis ringkas menyambut ketibaan anjing laut itu dari Kuala Lumpur.

Haiwan itu dibawa dengan penerbangan dari Hokkaido, Jepun dan singgah di Kuala Lumpur sebelum ke Langkawi.

Tanzil berkata sebelum ini UWL telah membawa masuk 20 ekor penguin yang juga sedang dikuarantin di pusat berkenaan dan dijangka dapat dipamerkan bersama dengan anjing laut itu.

Katanya untuk menyediakan ruang pameran kepada haiwan dari persekitaran bercuaca sejuk itu, UWL sedang dalam proses membina kompleks beharga RM30 juta yang dijangka siap hujung bulan depan
.