Khazanah pertanian terbuka
Oleh Nurhayati Abllah
Berita Harian, 17 Ogos 2006

PSAR berkonsepkan agro pelancongan sesuai diteroka pencinta alam semula jadi

SETIU: Bermula daripada sebuah ladang integrasi dengan menggabungkan semua aspek kegiatan pertanian, Peladang Setiu Agro Resort (PSAR) kini dikenali sebagai pusat pendidikan pertanian terbuka.

PSAR antara pusat pertanian yang mampu bertahan di negara ini kerana menggabungkan pelbagai aspek termasuk agro pelancongan dan pusat penyelidikan.

Beroperasi 89 kilometer (km) dari Kuala Terengganu dan 13 km dari Permaisuri, Setiu, menjadikan PSAR destinasi sesuai bagi individu yang menginginkan suasana tenang dari kesibukan bandar.

PSAR berkonsepkan agro pelancongan iaitu menjadikan elemen pertanian seperti landskap, kolam pancing, taman herba dan dusun buah-buahan sebagai produk pelancongan yang boleh menjadi tarikan pengunjung.

Kawasan seluas kira-kira 280 hektar dan bersebelahan dengan Hutan Simpan Gunung Tebu turut menjadi bonus kepada PSAR kerana lokasinya sesuai kepada pencinta alam semula jadi untuk menerokai khazanah di kawasan itu.


Pengarah Urusan PSAR, Mohd Saipuddin Wahab, berkata cadangan awal pembinaan resort itu hanya untuk dijadikan kem latihan dan dianggap idea gila segelintir masyarakat setempat.

Katanya, ramai beranggapan projek itu membawa kerugian kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri kerana beranggapan ia tidak


DAMAI: Suasana tenang tepi calet Peladang Setiu Agro Resort menggamit  kehadiran pelancong menjadi pilihan tetamu.


BERKHASIAT: Mohd Saipuddin menunjukkan spesis 'Misai Kucing' yang ditanam di Taman Herba.

 memberikan sebarang keistimewaan, selain terpencil untuk menjadi tarikan orang ramai.

"Bagaimanapun, usaha dan semangat yang ditunjukkan kakitangan, resort sudah dikenali ramai sama ada pelancong dalam atau luar negara. Malah, menjadi tumpuan terutama ketika musim cuti sekolah dan musim buah-buahan," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, selain dusun yang menempatkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan, resort berkenaan turut memiliki daya tarikan tersendiri termasuk Taman Herba, kolam ikan dan Taman Mini Unggas.

"Taman Herba yang dibina menempatkan lebih 120 spesies tumbuhan herba antaranya Gajah Mengawan, Serapat, Penyambung Nyawa, Kerbau Amuk, Aji Samat dan Misai Kucing.

"Pengunjung bukan sekadar boleh mengenali tumbuhan itu dengan lebih dekat, malah boleh membeli anak pokok serta produk siap (akar kayu) untuk dibawa pulang sebagai ole-ole," katanya.

Kunjungan pemberita Berita Harian ke resort berkenaan turut mendapati Taman Mini Unggas yang


USAHA: Pekerja menyemai pokok buah-buahan sebelum dijual.

menempatkan spesies binatang sama ada haiwan liar atau jinak berada bersebelahan dengan Taman Herba.

Antara binatang yang menghuni taman berkenaan adalah rusa, ayam sutera, merak, monyet, beruang dan ular sawa.

Mohd Saipuddin berkata, pelbagai aktiviti hutan seperti kembara hutan, jelajah malam, `solo camping' dan `compas matching' turut disediakan kepada pengunjung yang berminat menghayati keindahan hutan simpan Gunung Tebu itu.

"Tidak ketinggalan aktiviti lasak, `flying fox', `abseiling' dan `obstacle course' juga disediakan," katanya.

Katanya, walaupun aktiviti dan produk yang ada di resort itu lebih kepada pelancongan, tujuan utama pembinaan PSAR ialah sebagai pusat penyelidikan terbuka dalam bidang pertanian.

 

"Pelbagai kemudahan lain termasuk calet, dewan seminar, restoran dan tapak perkhemahan disediakan untuk pengunjung menjayakan program atau seminar.

"Keunikan dan kelainan yang ada di PSAR akan memberikan suasana berbeza daripada destinasi percutian di tempat lain," katanya.

Fakta: Peladang Setiu Agro Resort

  89km - Dari Kuala Terengganu.

  13km - Dari permaisuri, Setiu.

  280 - Hektar keluasan kawasan.

  120 - Spesies tumbuhan herba.