Tinjau

 
  Utusan Malaysia, 7 Okt 2004  

 

ABDULLAH Ahmad Badawi memotong buah dokong yang dibawa dari Kelantan semasa melawat gerai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA 2004) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, semalam. - Gambar ZAKI AMIRUDDIN.



Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meluangkan masa dua jam melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2004 yang masuk hari kedua di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines di Seri Kembangan semalam.

Dalam lawatannya itu, Perdana Menteri tidak melepaskan peluang melawat gerai-gerai menjual makanan dan perubatan tradisional.

Beliau turut melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis ternakan termasuk kambing kacukan yang dikenali sebagai `Jermasia', `Timorensis' iaitu sejenis rusa berasal dari Mauritius dan `Barbados Balckbelly' (bebiri).

Turut mengiringinya ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd. Sharif Omar.

Lebih 500 gerai yang mempamerkan pelbagai produk, jentera dan perkhidmatan pertanian menyertai MAHA 2004 termasuk penyertaan dari negara asing iaitu Vietnam, Belanda, India, Australia, Thailand, United Kingdom dan New Zealand.