|

PEMELIHARA kucing, Abdul Rashid Mohd Othman, mengaku tidak
bersalah terhadap empat tuduhan mengabaikan penjagaan dan
rawatan empat kucing Parsi di Sri Petaling,
Kuala Lumpur pada 21 September lalu.
KUALA LUMPUR: Seorang pemelihara kucing didakwa di Mahkamah
Majistret di sini, semalam kerana mengabaikan penjagaan dan rawatan
empat kucing Parsi sehingga menyebabkan haiwan itu berpenyakit.
Abdul Rashid Mohd Othman, 50, mengaku tidak bersalah terhadap
keempat-empat tuduhan itu.
Dia didakwa mengabaikan penjagaan dan menyebabkan kesengsaraan yang
tidak sepatutnya terhadap seekor kucing betina berwarna hitam putih
sehingga haiwan itu menghidap penyakit kulit dan sakit mata, tanpa
diberi rawatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah No 65, Jalan Wan Malini 1,
Sri Petaling, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari pada 21
September lalu.
Bagi tuduhan kedua, Abdul Rashid didakwa melakukan kesalahan sama
terhadap seekor kucing jantan berwarna kuning putih, tuduhan ketiga
(kucing betina kelabu/putih/kuning) dan tuduhan keempat, seekor
kucing jantan berwarna hitam putih.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan tarikh
sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 44 (1) (d)
Ordinan Binatang 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM200 atau
penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tiga daripada empat kucing dibawa ke mahkamah manakala seekor lagi
iaitu kucing jantan kuning putih, dikatakan mati akibat penyakit
dihidapinya.
Majistret Azniza Mohd Ali menetapkan perbicaraan kes itu selama dua
hari bermula 23 November ini. |
Abdul Rashid pada mulanya mengaku bersalah terhadap dakwaan itu
tetapi apabila lapan gambar kucing itu ditunjukkan di mahkamah, dia
berkata, keadaan empat haiwan itu tidak seperti dalam gambar sewaktu
ia diambil Jabatan Perkhidmatan Haiwan dari rumahnya.
Azniza kemudian menolak pengakuan bersalah Abdul Rashid selepas dia
tidak setuju dengan gambar itu.
Azniza turut menghabiskan masa kira-kira lima minit untuk melihat
sendiri keadaan tiga daripada empat kucing itu yang diletakkan di
luar mahkamah.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya B Sarala Pillai dan
Tetralina Ahmad Fauzi serta Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan
Haiwan, Tee Thian See.
Sementara itu, di luar mahkamah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan supaya
memeriksa dan merampas 26 kucing yang masih berada di rumah Abdul
Rashid.
Inspektor Haiwan Persatuan Menolong Haiwan (SPCA) Selangor, Sabrina
Yeap, berkata pihaknya sudah menghantar cadangan itu kepada jabatan
berkenaan, baru-baru ini.
Beliau juga mencadangkan agar orang ramai tidak menjalankan
perniagaan ‘memulihara dan menjual kucing’ di kawasan perumahan
kerana ia tidak baik untuk kesihatan orang ramai. |