|
RAMAI beranggapan
cacing tanah adalah sejenis haiwan yang bukan saja menggelikan,
malah cuma sesuai dijadikan makanan burung dan umpan ikan.
Bagaimanapun, tanggapan mereka dibuktikan salah oleh pengusaha
cacing tanah, Azlinda Ros Abdul Aziz, 35, apabila menjadikannya
sebagai sumber yang dapat menjana pendapatan lumayan.
Apa tidaknya, cacing tanah mempunyai nutrien dan protein lebih
tinggi berbanding kacang soya dan mampu dijadikan baja berkualiti
serta sebagai bahan dalam penghasilan kosmetik.
Berdasarkan hakikat itu, Azlinda dengan
bermodalkan RM50,000, bertekad memulakan perniagaan penternakan
cacing tanah secara kecil-kecilan pada 2000, mendirikan bangsal
serta membeli peralatan.
Selepas 2006, perniagaannya berkembang maju berikutan permintaan
tinggi daripada orang ramai dan syarikat pertanian yang ingin
menternaknya serta permintaan syarikat kosmetik bagi kegunaan
produknya itu.
Kini ibu tunggal dengan dua anak itu mampu tersenyum bangga kerana
beliau berjaya menubuhkan syarikat sendiri, AZR Agro Centre di
Banting, Selangor dan bergelar usahawan muda bergelar pengarah
urusan.
Berkelulusan dalam bidang Biologi Alam Sekitar
dari Universiti Sains Malaysia (USM), Azlinda berkata, cacing tanah
mempunyai keistimewaannya tersendiri antaranya dapat menghasilkan
baja dengan 17 nutrien yang sangat baik untuk penanaman tumbuhan dan
produk kosmetik.
"Bagi pesawah padi misalnya, mereka hanya memperoleh tujuh tan
metrik jika menggunakan baja biasa, tetapi dengan penggunaan baja
dicampur cacing tanah, mereka mampu memperoleh sehingga 10 tan
metrik.
"Dalam bidang kosmetik pula, protein yang ada dalam cacing tanah
boleh menambahkan kualiti produk terbabit dan dapat tahan lebih
lama," katanya.
Azlinda berkata, cacing tanah tidak memerlukan belanja yang besar
untuk diternak kerana ia hanya makan jerami padi yang kebiasaannya
dibuang. |
Bagaimanapun, katanya, cacing tanah mempunyai
banyak musuh, terutama ayam serta burung yang menjadikannya sumber
makanan dan kerana itu, ia perlu dijaga rapi.
Beliau berkata, bidang penternakan cacing tanah belum dikenali
secara komersial dan Selangor adalah satu-satunya negeri yang
mengiktiraf kepentingannya.
Sehubungan itu, kata beliau, syarikatnya membuka peluang kepada
orang ramai terutama masyarakat Melayu untuk turut serta dalam
menternak cacing tanah bagi mendapatkan pendapatan sampingan.
"Individu terutama suri rumah digalakkan menceburi bidang ini. Apa
yang perlu dilakukan mereka ialah hanya membeli cacing tanah dan
menternaknya sebelum ia dibeli semula pihak syarikat.
"Harga yang dikenakan ialah RM450 sekilogram dan selepas mereka
menternaknya sehingga tempoh matang kira-kira enam bulan, syarikat
ini akan membelinya semula dengan harga satu per empat daripada
harga pasaran," katanya.
Azlinda berkata, syarikatnya sedar ada individu berminat
menceburinya, tetapi terpaksa melupakan hasrat mereka kerana tidak
mempunyai modal mencukupi.
Bagi membantu mereka mengatasi masalah itu, kata beliau, syarikatnya
sedia membantu mereka mendapatkan modal dengan cara mengadakan
seminar serta menjemput pegawai bank bagi meyakinkan pihak bank
terbabit mengenai potensi perniagaan itu.
Azlinda berkata, syarikatnya biasa menganjur seminar dalam tempoh
dua bulan sekali bagi memberi peluang kepada peserta mengetahui
segala selok-belok bidang itu termasuk cara pembelian, penjagaan,
penjualan dan kaedah mendapatkan keuntungan.
AZR Agro Centre menyediakan perkhidmatan menjual, membeli, mengedar,
membekal, memasarkan, memborong, memproses, import, eksport dan
khidmat nasihat berkenaan pertanian serta industri asas tani.
Usaha syarikat itu selaras saranan kerajaan yang mahu menukarkan
penggunaan baja kimia kepada baja organik menjelang 2010 berikutan
kos penghasilannya yang lebih murah dan tidak mencemarkan alam.
|