'Pengurusan air kumbahan penting'

Oleh Abdul Halim Yusoff
Berita Harian, 2 Apr 2008

KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah pengurusan air kumbahan dan sanitasi amat penting kerana manfaatnya ke atas alam sekitar dan orang ramai jauh mengatasi kos ditampung.

Titah baginda, perkembangan sektor perindustrian bukan saja memerlukan lebih banyak air, tetapi ia turut mengeluarkan sisa kumbahan yang perlu dirawat.

Raja Dr Nazrin bertitah, disebabkan kitaran air di bumi adalah satu sistem tertutup, manusia hanya mampu menikmati jumlah air yang sama setiap masa dan tidak berdaya menambah jumlahnya.

 "Dengan jumlah penduduk dunia dijangka bertambah 30 peratus menjelang 2025, bekalan air bersih menjadi semakin kritikal.

"Walaupun kos merawat air kumbahan tinggi, kesan terhadap alam sekitar dan manusia akan menjadi lebih tinggi jika ia tidak dirawat," titah baginda ketika merasmikan Ekspo Air Asia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Titah baginda, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai bekalan air yang cukup, dengan 98 peratus penduduknya di bandar menikmati bekalan air paip, manakala 9
5 peratus penduduk luar bandar mendapat bekalan air bersih.

 Bagaimanapun, Raja Nazrin bertitah, permintaan bagi bekalan air semakin meningkat dengan bertambahnya bilangan penduduk, manakala pembangunan sosio-ekonomi dan perindustrian menjadi lebih pesat.

  
TEKNOLOGI: Raja Dr Nazrin Shah melihat ‘submersible pump’, sambil diiringi Presiden AMB Exhibitiors, Tan Sri Dr Ahmad Mustaffa Babjee selepas merasmikan Ekspo Air Asia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Titah baginda, Malaysia baru-baru ini menerima pakai konsep Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) yang memberi tumpuan kepada aspek pemuliharaan iaitu satu aspek penting kerana tidak ada teknologi yang dapat menampung penghakisan ekosistem.

"Lihatlah pada kawasan paya. Kawasan ini penting sebagai tebatan banjir, pembekal air dan menyekat air masin menyerap ke kawasan pesisir pantai, selain menjadi habitat untuk pelbagai flora dan fauna," titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah walaupun agak sukar membayangkan negara tropika seperti Malaysia mengalami kemarau kerana menerima hujan hampir setiap hari, keadaan boleh berubah akibat perubahan cuaca.

 

"Sehubungan itu, penting kita mempunyai dasar komprehensif yang dilaksanakan secara berkesan bagi memastikan kita tidak akan berada dalam keadaan yang mana komoditi asas untuk kehidupan itu tiada lagi," titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah, hingga kini lebih
1.2 bilion penduduk dunia tidak mempunyai akses kepada air minuman selamat dan hampir separuh warga dunia tiada sistem pembersihan air, manakala 2.4 bilion penduduk tidak mempunyai sistem sanitasi yang mungkin menyebabkan masalah pencemaran kepada sumber air.