![]() |
|
65 ekor kambing seludup bernilai RM20,000 dirampas
|
|
|
TUMPAT 12 Feb. – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 65 ekor kambing yang dipercayai diseludup dari negara jiran bernilai hampir RM20,000 dalam serbuan berhampiran pangkalan haram Kampung Naga Ibu dan Kampung Bunuhan dekat sini, malam tadi. Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 9, PGA, Deputi Supritendan Mohamad Latip berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 35 dan 45 tahun yang dipercayai pemilik kandang-kandang berkenaan. ‘‘Dalam serbuan pertama di kandang Kampung Naga Ibu, sejumlah 35 ekor kambing yang dipercayai diseludup dari negara jiran menerusi Sungai Golok dirampas. Sebelum serbuan, anggotanya telah melakukan intipan selama beberapa jam dan berjaya mengesan beberapa lelaki yang sedang menarik kambing dari pangkalan haram sebelum dihantar ke kandang sementara, kira-kira lima kilometer dari situ. “Hasil siasatan terhadap seorang lelaki yang berjaya ditahan, kami mengesan satu lagi kandang yang terletak di Kampung Bunuhan, Tumpat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Menurut Mohamad, hasil serbuan di Kampung Bunuhan terbabit, pihaknya menemui 30 ekor lagi kambing dipercayai untuk dipelihara sebelum dipasarkan kepada penternak di negara ini. |
|
|
Beliau berkata, lelaki yang ditahan itu dipercayai mengambil upah menyeludup kambing dengan bayaran RM6 seekor untuk menarik haiwan berkenaan ke kandang yang disediakan. “Kami difahamkan setiap ekor kambing dibeli dengan harga RM100 seekor dan dipercayai dijual dengan harga antara RM200 hingga RM300,” katanya.
|
|
|
|
|