|
GLOBAL
Excellent Marketing (GEM), perunding dan pakar reka bentuk rumah burung
layang-layang mahu melahirkan kira-kira 100 usahawan Bumiputera bagi
memperluas industri ternakan itu.
Bagi mencapai sasaran itu, GEM akan bekerjasama dengan beberapa
kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan
Usahawan dan Koperasi, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan Lembaga
Pertubuhan Peladang (LPP) untuk menganjurkan seminar dan kursus kepada
sesiapa yang berminat.
Perunding Pemasaran GEM, Abdul Aziz Mohd Rejab, berkata pihaknya akan
mengadakan pameran bergerak dan kursus sehari di seluruh negara mulai
Februari depan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai terutama
Bumiputera mengenai potensi industri ini.
Menurutnya, kursus dan pameran bergerak itu akan dikendalikan oleh
cabang perniagaan GEM iaitu Global Entrepreneur Centre (GEC).
“Kursus itu merangkumi aspek pengenalan dan latar belakang industri,
potensi pelaburan, reka bentuk rumah burung walet, pengurusan projek dan
teknologi yang digunakan, hasil dan keuntungan, risiko dan tip penting
penentu kejayaaan dan kegagalan ternakan. |
“Setiap peserta kursus juga akan diberikan sijil oleh JPH bagi
melayakkan mereka momohon untuk menjalankan industri ternakan itu
pada masa depan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Batu
Caves.
Katanya, pihaknya yakin dapat membangun dan membaik pulih
sekurang-kurangnya 100 bangunan untuk dijadikan rumah burung
layang-layang yang dijangka diperolehi hasil daripada sambutan orang
ramai terhadap kursus dan pameran bergerak yang diadakan itu.
Selain itu, GEM turut membuka peluang kepada pelabur yang berminat
untuk membina rumah ternakan itu di mana segala pembangunan dan reka
bentuk akan diuruskan oleh GEM.
“GEM pula akan mendapat hak perkongsian sebanyak 20 peratus daripada
projek ternakan itu dan segala urusan kutipan hasil dan pengurusan
bangunan itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh kami,” katanya.
Abdul Aziz berkata, usahawan Bumiputera perlu mengambil peluang ini
memandangkan ia mampu memberi pulangan sehingga 90
|
peratus selain pasaran sarang burung walet itu sendiri yang boleh
mencecah antara RM4,500 hingga RM5,000 sekilogram.
Buat masa ini, terdapat sekurang-kurangnya 10,000 hingga 12,000 buah
rumah ternakan itu di seluruh negara yang kebanyakannya berada di
Perak dan Kedah.
“Bagaimapun, hampir 90 peratus daripadanya dimiliki oleh usahawan
bukan Bumiputera,” katanya.
Bagi memenuhi keperluan kursus, GEM juga bercadang membangunkan
makmal rumah burung layang-layang walet di Padang Serai, Kedah tahun
ini dengan kos RM300,000.
“Kami juga akan membangunkan 30 bangunan rumah burung berkonsepkan
estet ternakan di kawasan seluas 3.2 hektar di Tanjung Agas, Port
Dickson untuk tujuan penyewaan kepada pelabur yang berminat,”
katanya. |