Lintah ternakan komersial
Oleh Mohamed Semail
Berita Harian, 10 Jul 2007

Norazlan dari kampung Jaya Gading, Kuantan ternak, eksport ternakan sebagai ramuan kosmetik, perubatan

KUANTAN: Geli. Itulah ungkapan pertama yang terhambur keluar sebagai jawapan bila ditanya mengenai lintah, apatah lagi untuk memegang atau menternak hidupan yang banyak di kawasan paya dan sawah padi.

Bagi Norazlan Abd Rahman, 37, dari Kampung Jaya Gading, di sini, perasaan geli sudah lama berkubur daripada mindanya. Apa yang penting, kerja itu menghasilkan pendapatan lumayan.

Berbekalkan semangat kental dikongsi bersama rakannya, Mohd Zakaria Mahmud, 50, beliau kini berjaya membuka empat kolam menternak lintah untuk tujuan eksport.

Norazlan lepasan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, lintah kini menjadi ternakan komersial berikutan permintaan tinggi untuk ramuan kosmetik dan perubatan.

Justeru , katanya, kebanyakan lintah yang diternak di negara ini dieksport ke luar negara terutama Taiwan dan Eropah yang dikenal pasti sebagai pasaran berpotensi bagi hidupan itu.

Beliau berkata, lintah mempunyai banyak spesies dan ia boleh didapati dengan mudah di negara ini terutama di kawasan paya dan sawah padi tempat kerbau berkubang.

Lintah ternak terdiri daripada lintah perut hijau (hirudo medicinalis) dan lintah perut perang yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Beliau berkata, lintah jenis berkenaan mampu mencecah harga antara RM40 hingga RM60 sekilogram bergantung pada saiz.

"Lintah jenis ini diternak sebagai ternakan komersial yang menguntungkan. Bagaimanapun, kaedah menternaknya bukan mudah kerana ia memerlukan penjagaan rapi seperti menternak ikan.

Norazlan berkata, di atas hamparan plastik berkenaan perlu ditabur pasir halus untuk hidupan ini bersembunyi daripada pemangsa.

"Penggunaan plastik dan pasir diperlukan supaya lintah tidak hilang ketika menuai, manakala pasir ialah tempat ia berlindung selain menyembunyikan diri daripada binatang pemangsa lain," katanya.

Katanya, lintah akan mencapai tempoh matang apabila berusia empat bulan dan ketika itu ia mula bertelur.

"Telur yang terhasil akan terlekat pada objek yang ada dalam air seperti tunggul kayu dan tumbuhan akuatik. Dalam sistem

  

kolam ternakan, batu-bata yang disusun empat segi seperti menara digunakan sebagai tempat mengumpul telur," katanya.

Norazlan berkata, lintah dikenali sebagai haiwan penghisap darah, justeru dalam sistem ternakan ini darah diperlukan sebagai makanan.

"Untuk mendapat bekalan darah, belut dijadikan makanan. Lintah akan mengejar belut berkenaan untuk menghisap darahnya. Lazimnya, 30 hingga 40 kilogram belut diperlukan untuk bekalan makanan 100 kilogram lintah," katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan ternakan, dua kilogram benih lintah berkemampuan menghasilkan 100 kilogram lintah dewasa, dalam tempoh kira-kira enam bulan.

"Tetapi, bekalan benih agak kritikal kerana permintaan tinggi dan pengusaha hatcheri masih berkurangan.

"Tidak hairanlah harga benih lintah boleh mencecah sehingga RM300 sekilogram", kata Norazlan ketika membawa wartawan meninjau kolam ternakan lintahnya, baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, penggunaan lintah dalam perubatan kuno diamalkan sejak lama dulu terutama di kalangan masyarakat Cina.
 

Bagi masyarakat Melayu, katanya, lintah digunakan terhadap pesakit kepala, darah tinggi atau berkudis.

Lazimnya, beliau berkata, bahagian kepala akan ditoreh dan lintah dibiarkan menyedut darah kotor.

"Penggunaan lintah dalam perubatan amat penting dan mendapat sambutan ramai kerana ia dikatakan mengandungi `hirudin' yang mampu mencairkan darah.

"Selain itu , `histamin' yang ada pada lintah dikatakan mampu membesarkan saluran pembuluh darah sekali gus mampu mengurangkan serangan jantung," katanya.

FAKTA: Lintah

  Lintah yang diternak jenis lintah perut hijau dan lintah perut perang

  Harga lintah dewasa boleh mencecah antara RM40 hingga RM60 sekilogram mengikut saiz.

  Harga benih lintah pula boleh mencecah sehingga RM300 sekilogram.

  Darah belut menjadi makanan lintah.

  20 kilogram belut boleh menampung makanan lintah untuk tempoh enam bulan dan menghasilkan 100 kilogram lintah dewasa.