Dr. Che Azila rintis hospital haiwan

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
Utusan Malaysia, 7 Jun 2008

 KOTA BHARU 6 Jun - Pengalaman masa lampau kadangkala akan mencorak atau membentuk kehidupan masa kini.

Bagi Dr. Che Azila Che Omar, dari Kampung Salor di sini, apa yang dilalui akhirnya merealisasikan cita-citanya berkhidmat dalam lapangan yang dapat merawat dan membantu menyelamatkan haiwan.

Segalanya bermula kira-kira 30 tahun lalu apabila kucing kesayangannya dilanggar kereta dan dia merasakan begitu sedih dan perit kerana terpaksa menunggu waktu yang lama bagi haiwan itu sembuh dengan sendirinya.

''Ibu bapa saya tidak tahu di mana kucing boleh dirawat dan saya menangis teresak-esak ketika itu.

Selepas itu, saya mula menyedari betapa susahnya untuk mencari seorang doktor yang dapat merawat haiwan dan sejak itu saya menanam azam untuk menjadi doktor apabila besar nanti.

''Bagaimanapun, saya terfikir pula adakah wujud doktor khusus merawat haiwan? Sehinggalah melangkah ke sekolah menengah, saya terbaca majalah Dewan Siswa yang menceritakan mengenai kerjaya seorang doktor veterinar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Che Azila, 37, memusatkan perhatian sepenuhnya terhadap pengajian dalam bidang berkenaan apabila diterima memasuki Universiti Putra Malaysia pada tahun 1991 dan keluar sebagai doktor veterinar bertauliah lima tahun kemudian.

Buat permulaan, beliau bekerja dengan kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Ladang Tetasan Budi, Machang iaitu sebuah ladang ternakan ayam selama enam tahun.

Beliau kemudian mengambil keputusan berhenti dan menyertai seorang perintis perkhidmatan veterinar swasta di negeri ini, Allahyarham Dr. Hilmi Yusoff yang pada masa itu membuka Klinik Haiwan Baru (KHB).

Bersama Hilmi, Che Azila membuka enam buah cawangan KHB iaitu di Jalan Sultanah Zainab, Kampung Sireh; Pasir Mas, Machang, Kuala Krai, Pasar Raya KB Mall dan Hospital Haiwan di Pintu Geng di sini.

Ekoran pelanggan yang semakin meningkat dan bagi menyediakan perkhidmatan terbaik serta selesa kepada pelanggan dan haiwan, hospital itu yang mula beroperasi sejak dua tahun lalu itu akan berpindah ke lokasi baru di Bandar Baru Tunjong.

Hospital haiwan yang pertama di Kelantan dan Pantai Timur itu kelak lebih senang untuk dikunjungi memandangkan ia terletak di lokasi strategik yang terletak di laluan utama pintu masuk ke Kota Bharu dari arah Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.


CHE Azila Che Omar bersama beberapa ekor kucing yang dirawat di kliniknya di Kota Bharu, Kelantan.

Ternyata, kematian Hilmi, rakan kongsi yang juga mentornya kira-kira setahun lalu setelah terlibat dalam kemalangan, Che Azila menguatkan lagi azam untuk terus mengembangkan perkhidmatannya.

Beliau yang merangkap pengurus kini dibantu oleh dua orang doktor veterinar, tiga pembantu dan 10 pekerja biasa.

Mengulas lanjut, doktor muda yang mempunyai tiga cahaya mata itu berkata, KHB dan Hospital Haiwan itu amat istimewa kerana ia tidak mengkhususkan rawatan kepada haiwan tertentu sahaja, tetapi sebaliknya mengamalkan perkhidmatan veterinar bercampur.

"Maksud rawatan veterinar bercampur ini ialah kita merawat semua jenis haiwan termasuk haiwan kecil, haiwan kesayangan peliharaan (pet domestik), ladang seperti lembu dan kambing, dan akuatik serta eksotik.

"Klinik dan hospital dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang. Kita juga menyediakan perkhidmatan rawatan bergerak dan sedia berkhidmat pada bila-bila masa apabila terdapat kes kecemasan," katanya.

Tambah beliau, antara perkhidmatan yang disediakan ialah rawatan semua jenis haiwan, pembedahan, mandian, khidmat penjagaan haiwan, mandian, pengkasian, pemvaksinan, lawatan ke ladang, panggilan kecemasan, suntikan perancang, bekalan ubat-ubatan dan runding cara pemakanan.

Che Azila amat bertuah kerana berkongsi minat sama dengan suaminya, Nik Abdul Rahman Nik Hussin, 39, yang merupakan Pegawai Perkhidmatan Veterinar Jajahan Pasir Puteh.

Che Azila memberitahu, adalah menjadi kelaziman dalam kerjaya ini terdedah kepada bahaya yang tidak dijangka apabila haiwan yang dirawat secara tiba-tiba bertindak agresif dan menyerang petugas.

Katanya, beliau sendiri pernah digigit di bahagian tangan oleh seekor anjing semasa menjahit luka di bahagian leher dan juga dicakar serta digigit oleh seekor kucing yang terlepas dari sangkar.

Lain-Lain Berita Berkaitan