![]() |
|
|
Berbuat baik kepada haiwan dituntut agama Utusan Malaysia, 7 Jun 2008 |
|
|
KOTA BHARU 6 Jun - Manusia dan haiwan merupakan makhluk ciptaan Tuhan dan apa yang membezakannya ialah manusia dimuliakan dengan kurniaan akal yang mampu berfikir secara waras dalam tindak-tanduk merencanakan kehidupan. Walaupun taraf itu berbeza, namun manusia tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya terhadap haiwan, apatah lagi menzalimi kerana ia bertentangan dengan ajaran agama. Dalam banyak keadaan, haiwan membantu menyenangkan kerja manusia dalam pelbagai lapangan, malah turut memberikan ketenangan emosi kepada mereka yang mendampinginya. Mengulas mengenai tanggungjawab berbuat baik terhadap haiwan, Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz berkata, Nabi Muhammad merupakan contoh ikutan terbaik sebagai manusia yang paling mengasihi haiwan. Beliau memberitahu Utusan Malaysia, tuntutan agar berbuat baik terhadap haiwan bukannya berasal dari Barat seperti mana anggapan sesetengah pihak, tetapi ia telah diajar oleh Nabi Muhammad sejak 1,400 tahun dulu lagi. ''Antara sifat nabi ialah Rahmatan lil al-Alamin seperti firman Allah dalam surah al-Anbiya':107, yang bermaksud, Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Maksud al-Alamin di sini ialah meliputi haiwan dan alam sekitar. |
''Nabi juga pernah bersabda, Barang siapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihi (Sahih al-Bukhari). Di antara ihsan kepada haiwan juga ialah jangan disembelih di hadapan haiwan lain (Fatwa al-Azhar di bawah bab al-Rifq bi al-Hayawan (berbuat baik kepada haiwan),'' katanya. Abdullah berkata, Nabi Muhamad juga amat mementingkan kebajikan haiwan walaupun ia tidak berakal kerana sesungguhnya haiwan mampu bersaksi kelak di akhirat menceritakan mengenai kejahatan manusia terhadapnya. ''Sabda nabi dalam Sunan al-Nasai' dan Ibn Hibban, iaitu Sesiapa yang membunuh burung secara sia-sia (tanpa manfaat), burung itu akan berkata (di akhirat kelak), Ya Allah manusia ini telah membunuhku secara sia-sia bukan untuk mengambil manfaat daripada kematianku. ''Nabi bersabda lagi hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim, Apabila kamu musafir dengan menunggang unta, maka berikanlah peluang kepada unta itu untuk berehat,'' katanya.
|
|
|
|