|
Khidmat kian pupus dengan kemunculan benih baru
lebih rendah, permudah manusia ambil buah
KOTA BHARU:
Beruk yang membantu memetik kelapa satu ketika dulu menjadi kebanggaan
masyarakat luar bandar kerana ia memudahkan pemiliknya mencari rezeki.
Ini kerana penggunaan beruk dianggap kaedah
paling selamat untuk membantu usaha memetik kelapa dari pokok yang
tinggi dan berbahaya jika dipanjat manusia.
Bagaimanapun, khidmat beruk kini kian pupus kerana pengurangan kawasan
tanaman kelapa serta kemunculan benih tumbuhan itu yang tumbuh rendah
membolehkan buahnya dipetik dengan mudah.
Selain itu, ketiadaan minat generasi muda meneruskan aktiviti
pemeliharaan beruk memanjat kelapa, menyebabkan pemilik beruk ketika ini
terdiri daripada warga tua.
Bagi pemilik beruk kini, selain membantu memanjat kelapa, pemeliharaan
haiwan itu lebih kepada hobi mengisi masa lapang kerana kesukaran
mengajar mamalia itu memetik kelapa dengan baik.
Bagi mereka, penggunaan beruk memanjat kelapa sekadar kerja sampingan
mengisi masa terluang kerana kadar upah tidak sepadan, kecuali memiliki
kebun kelapa sendiri.
Upah beruk memetik kelapa kini iaitu RM10 bagi 100 biji, dianggap tidak
sesuai kerana proses melatih beruk untuk mahir memetik kelapa memakan
masa lama dan sukar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Datuk Dr Ilias Hussin,
berkata pemilik beruk perlu diberi ganjaran sewajarnya kerana proses
memetik kelapa menggunakan haiwan itu kini sukar diperoleh.
"Tidak semua beruk kini pandai memetik kelapa jika tidak melalui latihan
yang lama. Pemilik beruk biasanya penduduk yang memeliharanya untuk
memetik kelapa dan upahnya dapat menyara keluarga.
"Jika upahnya tidak setimpal, mungkin pada masa depan teknik memetik
kelapa menggunakan haiwan ini akan pupus apabila tiada yang berminat
memeliharanya," katanya.
Beliau berkata, pusat latihan beruk perlu diwujudkan di negeri ini bagi
memudahkan pemilik haiwan itu melatih haiwan mereka serta memastikan
tradisi beruk memetik kelapa tidak dilupai generasi akan datang.
Katanya, penggunaan beruk untuk memanjat kelapa serta pusat latihan
beruk sebenarnya berpotensi sebagai tarikan pelancong luar yang melawat
negeri ini kerana ia adalah sesuatu yang menarik untuk ditonton. |

MAHIR: Beruk memilih kelapa untuk dipetik pada pertandingan
di Kampung Telaga Ara |
|
Pemilik beruk, Salleh Ismail, 50, dari Sri Aman, Pasir Puteh, yang
memiliki beruk memanjat kelapa sejak 35 tahun lalu, berkata beliau
menempuh pelbagai pengalaman pahit manis bersama mamalia itu.
"Sepanjang tiga dekad mengambil upah memetik kelapa dengan tiga beruk,
saya mampu menyara sembilan anak. Dengan pendapatan RM30 sehari, saya
menyara persekolahan anak-anak hingga mereka berjaya dalam pelajaran.
"Saya tidak jemu dengan beruk kerana inilah yang saya mampu lakukan,"
katanya yang kini turut meraih kelapa daripada penduduk untuk dijual di
sekitar Pasir Puteh.
Sepanjang pengalaman mengendali beruk, beliau pernah dirawat di Hospital
Universiti Sains Malaysia (HUSM) selama 16 hari kerana cedera diserang
beruk yang tiba-tiba mengamuk.
Salleh berkata, beliau mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk
melatih beruknya mengenal pasti dan memetik kelapa. Kemahiran itu juga
mendorong beliau membawa beruk menyertai pertandingan dan setakat ini
sudah 10 kali muncul juara pertandingan.
Katanya, sebagai balasan kepada beruk peliharaan yang banyak berjasa
kepada dirinya dan keluarga, setiap hari, haiwan itu diberi makan nasi
serta pelbagai buah-buahan.
Bagi Mansor Abu Bakar, 30, dari Kampung Kelewek, Tanah Merah, berkata
minat memelihara beruk itu sekadar mengisi masa lapang selepas
menerimanya sebagai hadiah daripada abangnya.
"Ketika ini, saya mempunyai dua beruk. Seekor daripadanya mahir memetik
kelapa. Jadi, ia juga menjadi penyumbang pendapatan tambahan apabila
dipanggil oleh penduduk untuk memetik kelapa.
|
"Saya
mengambil masa sebulan untuk mengajarnya memetik kelapa. Keupayaan
beruk ini menarik beberapa daripada beberapa pihak yang berminat
untuk membelinya pada harga tinggi tetapi saya enggan menjualnya,"
katanya yang menyajikan peliharaannya itu dengan roti dan susu
setiap hari.
FAKTA:
Beruk
· Mampu petik 100 kelapa sehari.
· Upah RM10 bagi 100 kelapa
· Tempoh 3 - 4 minggu latihan petik kelapa
· Hidangan beruk - nasi, roti, susu dan
buah
|