|
Taman
Botani Negara di Shah Alam tumpuan ramai untuk menenangkan fikiran
SHAH ALAM: Ramai berpendapat tidak lengkap lawatan ke bandar raya ini
jika tidak singgah ke Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam
atau nama barunya Taman Botani Negara (TBN).
Ini kerana taman yang menjadi mercu tanda sejak 1989 itu menjanjikan
keseronokan dan kepuasan tidak ternilai kepada pengunjung yang mahu lari
daripada kesibukan kota dan merapatkan hubungan kekeluargaan.
Berkeluasan 817 hektar, TBN cetusan idea Menteri Pertanian ketika itu,
Tan Sri Sanusi Junid memfokuskan kepada empat elemen utama yang menarik
di bawah satu bumbung iaitu tempat lawatan, kemudahan asas, penginapan
dan rekreasi.
Bagi pengunjung yang pernah ke sini, mereka pasti tidak sabar untuk
kembali, apatah lagi selepas adanya tarikan terbaru iaitu "Skytrex
Adventure Park" yang julung kali diperkenalkan di Asia.
Berjalan, merangkak, melompat dan meluncur selama dua jam adalah antara
aktiviti menarik bagi mereka yang menggemari sukan lasak.
Selepas
berjaya bergerak pantas sambil mengetepikan perasaan takut atau gayat,
peserta berpeluang menikmati keindahan hutan taman dari puncak kanopi
hutan hujan tropika pada ketinggian tiga meter hingga 17 meter dari aras
tanah.
Pengunjung yang belum pernah ke TBN yang dibuka sejak 18 tahun lalu itu
pasti tertarik dengan Taman Iklim Sederhana Empat Musim yang mempunyai
empat musim setiap tahun bermula dengan musim bunga, panas, luruh dan
sejuk.
Berubah setiap tiga bulan, pengunjung dapat menikmati setiap musim
seperti suasana sebenar di negara iklim sederhana ditambah dengan hiasan
yang menggambarkan musim terbabit. Pengunjung juga berpeluang
menyaksikan khazanah flora dan fauna yang terus terpulihara di sini.
Sambil berbasikal atau berjalan mengelilingi TBN, pengunjung akan
ditemani bunyi unggas dan melihat pelbagai spesies burung yang jarang
ditemui berterbangan, antaranya Perenjak Belukar, Kesumba Bukit, Baya
Weaver, Sambar Bukit dan Pekaka Rimba Besar.
Pengurus TBN, Said Abdul Manaf Said Mahadi, berkata pihak pengurusan
sentiasa berusaha mencari daya tarikan baru yang dapat memberi
keseronokan dan kepuasan kepada pengunjung.
"Ketika ini, 'Skytrex Adventure Park' adalah tarikan terbaru taman ini
dan orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang untuk mencuba
melakukan aksi lasak.
"Kini, kami merancang untuk menubuhkan satu tempat khas untuk memberi
peluang kepada pengunjung bermain paintball dalam persekitaran hutan,"
katanya.
Said Abdul Manaf, berkata, selain sesuai kepada pencinta alam, tempat
ini adalah lokasi paling tepat bagi individu yang ingin menenangkan
fikiran setelah penat bekerja.
"Tempat ini pasti memberikan ketenangan kepada pengunjung terutama
mereka yang menetap di bandar besar yang sesak dan sibuk," katanya
sambil menambah penduduk sekitar Shah Alam juga sepatutnya singgah di
taman itu.
Penolong Pegawai Perhubungan Awam TBN, Ahmad Farid Abu Dzarim, berkata
hanya 30 peratus dari keluasan taman itu dibangunkan untuk membina
kemudahan asas antaranya pejabat, penginapan, jalan dan tandas. |
 |
|
"Pihak
pengurusan TBN terpaksa menggunakan 30 peratus dari keluasan hutan
untuk kemudahan pengunjung namun ia tidak memberi kesan yang boleh
merosakkan hutan kerana 70 peratus masih kekal sebagai hutan semula
jadi.
"Ketika musim buah-buahan, pengunjung boleh menikmati pelbagai
buah-buahan tempatan yang ditanam di taman buah-buahan di sini
seperti durian, rambutan, manggis dan cempedak, secara percuma,"
katanya.
Ciri-ciri sejarah turut diselitkan di TBN apabila dua empangan iaitu
Empangan Air Kuning dan Empangan Sungai yang dipercayai dijadikan
tempat tadahan hujan ketika zaman pemerintahan British masih
dikekalkan.
Empangan itu tidak diubah suai kerana pihak pengurusan TBN
beranggapan ia khazanah bersejarah untuk disaksikan pengunjung.
Keunikan lain ialah kewujudan sebuah bukit yang digelar Bukit Sapu
Tangan yang membolehkan pengunjung melihat bandar raya Shah Alam
dari puncaknya.
Walaupun tidak dapat dipastikan maksud nama bukit itu, ada
mengatakan pengunjung perlu berjalan hampir dua kilometer untuk
sampai ke puncaknya dan ini menyebabkan mereka berpeluh dan
memerlukan sapu tangan untuk mengelapnya.
FAKTA
Antara taman lain yang ada di Taman Botani Negara:
Taman Haiwan, Taman Padi, Taman Cendawan, Taman Hidroponik, Taman
Rempah dan Taman Buah-Buahan.
Pelbagai aktiviti antaranya berbasikal, memancing, jamuan, berkhemah,
berjoging dan bersiar-siar boleh dilakukan di sini.
Taman yang letaknya di Seksyen 8 dan bersebelahan Bukit Bandaraya
itu dibuka setiap hari termasuk cuti umum dengan kadar bayaran
kemasukan berpatutan.
Pihak pengurusan taman itu boleh dihubungi menerusi 03-5510
6922/6923/7048.
|