|
PBT
diminta pantau premis ternak burung layang-layang dikhuatiri sebar wabak
di pekan lama Kuala Selangor
KUALA SELANGOR: Sup sarang burung layang-layang seperti sup sirip ikan
yu menjadi juadah yang diminati penggemar makanan Cina berikutan khasiat
dan keenakannya.
Malah, jika berkunjung ke kedai ubat Cina, sarang burung layang-layang
yang sudah dikeringkan dan dibersihkan adalah herba pilihan ramai
walaupun harganya mencecah ribuan ringgit.
Sejak
seabad lalu, penuaian sarang burung layang-layang secara komersial di
gua seluruh negara dengan penuaian pertama dikatakan dilakukan di Gua
Niah, Sarawak, pada 1878.
Kini, penuaian sarang burung layang-layang secara komersial mula
diperkenalkan di kawasan pekan dan bandar, terutama di bangunan lama
seperti bangunan kedai zaman sebelum merdeka dan pasca merdeka.
Bagaimanapun, kehadiran premis yang
‘menternak'
burung layang-layang di kawasan pekan dan bandar menimbulkan pelbagai
isu lain, termasuk bunyi bising dan kebimbangan penyakit bawaan seperti
selesema burung.
Bangunan pasca merdeka seperti di pekan Kuala Selangor, tidak
ketinggalan menerima perubahan yang sama.
Tinjauan mendapati, banyak bangunan kedai lama dan baru dijadikan tempat
pembiakan burung berkenaan secara komersial, mungkin bagi memudahkan
penuaian berbanding pada dinding gua.
Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, pembiakan burung di pekan
lama Kuala Selangor sejak tiga tahun lalu menimbulkan perasaan tidak
puas hati peniaga dan penduduk.
Katanya, bunyi bising sejak awal pagi hingga malam bukan saja mengganggu
ketenangan, malah bau najis di kawasan pembiakan menimbulkan rasa tidak
selesa.
"Pelanggan
yang menetap di pangsapuri berdekatan juga sering merungut dengan bunyi
bising dari kawasan pembiakan itu setiap hari.
"Jika ada yang membuat aduan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS)
tindakan yang diambil hanya mencabut suis elektrik (untuk pembesar suara)
dan setiap kali suis dicabut, pemilik premis akan memasangnya semula,"
katanya ketika ditemui di sini.
Ditanya siapa pemilik premis itu, beliau mendakwa mereka terdiri
daripada orang luar dan penduduk di kawasan itu.
Katanya, ada pemilik yang membeli rumah kedai usang dan menjalankan
kerja ubah suai sebelum dijadikan tempat pembiakan burung itu.
Beliau berkata, setiap bulan atau dua minggu sekali pekerja warga asing
yang diupah pemilik premis akan datang mengutip sarang burung dan
membersihkan tempat itu.
Pesara, M Shanmugam, 57, berkata pembiakan burung di kawasan berdekatan
tumpuan orang ramai seperti di pekan lama Kuala Selangor dan kawasan
perumahan tidak wajar kerana boleh menimbulkan masalah kesihatan. |

HABITAT BARU: Premis dibina khas bagi menternak burung layang-layang. |
|
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya mengambil tindakan
proaktif bagi mengelak kejadian tidak diingini dan bukan menunggu
sehingga wabak selesema burung berlaku untuk mengambil tindakan.
"Bagaimanapun, secara umum, kebanyakan penduduk di kawasan
pangsapuri ini tidak berpuas hati dengan bunyi bising sistem
pembesar suara yang dipasang pemilik premis pembiakan untuk menarik
burung datang dan membiak di premisnya.
"Pembesar suara itu dipasang sepanjang hari sehingga jam 8 malam
sebelum dimatikan," katanya.
Shanmugam berkata, pembiakan burung di kawasan pekan seperti Kuala
Selangor juga tidak wajar kerana sebagai kawasan tarikan pelancong,
ia boleh menimbulkan perasaan tidak senang pengunjung berikutan
bunyi bising dan najis burung.
Katanya, kawasan di pekan lama Kuala Selangor terletak berhampiran
Bukit Malawati dan Taman Alam yang terkenal dengan khazanah alam
sekitar.
"Mungkin ada orang gemarkan keindahan alam sekitar boleh menghargai
kehadiran burung itu, tetapi ia mungkin mengganggu orang lain.
"Walaupun tempat pembiakan burung juga boleh ditemui di kawasan
Tanjong Karang dan Sekinchan, ia dilakukan di kawasan berdekatan
pantai dan jauh daripada orang ramai," katanya.
FAKTA: Burung layang-layang
-
Juga dikenali
sebagai burung walit.
-
Daripada
keluarga Order Apodiformes yang tidak berkaki dan hanya
mempunyai kuku yang mencengkam kuat.
-
Bersaiz kecil
antara 7.5 sentimeter hingga 13 sentimeter.
-
Hidup dalam kelompok besar dan suka kawasan ceruk seperti bukit
dan gua.
-
Membiak dalam
suasana seakan gua.
|