LADANG INFOTERNAK SG.SIPUT(U)
PENDAHULUAN
Di-negeri Perak Darul Ridzuan terdapat sebuah sahaja ladang Ternakan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri yang terletak berhampiran Sungai Siput (U). Ladang ini dahulunya dikenali sebagai Kampong Koboi, tetapi apabila fungsinya ditambah ianya dipanggil sebagai Ladang Infoternak Sungai Siput (U). Ia telah mula dibina sejak kira-kira 20 tahun yang lalu dan telah mengalami beberapa pembangunan yang menarik seperti apa yang ada pada hari ini. Pusat ini merupakan salah satu bahagian di bawah Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Ladang Infoternak telah ditubuhkan pada tahun 1972 di atas sebuah kawasan bekas lombong seluas 198 hektar. Penubuhan Ladang ini pada asalnya bertujuan untuk memberi latihan kepada penternak dan juga pembekalan baka anak ayam bermutu di bawah program Rancangan Buku Hijau, Amalan Makanan dan Pemakanan dan Rancangan Ayam Berkelompok. Ternakan yang terdapat di ladang ini terdiri daripada ayam, arnab, kambing, lembu, rusa dan burung unta. Infrastruktur seperti asrama, dewan syarahan, bilik mesyuarat, bilik bacaan, dewan makan, surau, talian telefon awam, padang bola dan gelanggang takraw adalah di antara kemudahan terdapat di ladang ini.
Dengan terdapatnya pelbagai komoditi-komoditi ternakan dan alam persekitaran yang indah, ladang ini sejak tahun 1995 telah menjadi satu destinasi pelancongan di dalam penternakan (agrotourism) yang diminati ramai.
Bagi meningkatkan prestasi ladang, tumpuan sejak tahun 1997 telah dijuruskan kepada pengeluaran 3 jenis komoditi iaitu rusa, burung unta dan susu kambing.
LOKASI DAN SEJARAH RINGKAS
Ladang Infoternak Sg. Siput terletak di satu kawasan 21 km dari Bandaraya Ipoh dan pada jarak yang hampir sama menuju ke bandar Kuala Kangsar. Kawasan Ladang ini terletak di pinggir jalan raya yang menghubungi kedua-dua bandar tersebut. Di sebelah timur ia bersempadankan ladang getah/kelapa sawit dan di sebelah barat terdapat banjaran gunung sementara di sebelah utara ialah kawasan kediaman Rimba Panjang. Dua buah pekan yang terdekat iaitu Chemor dan Sungai Siput yang sedang pesat membangun dengan kawasan perindustrian dan perumahan .
Pada peringkat awal ia telah di bangunkan sebagai ladang untuk ternakan lembu serta kambing. Ini mungkin telah mengilhamkan Allyarham Dato' Seri Haji Kamaruddin bin Haji Mat Isa bekas Menteri Besar Negeri Perak untuk menamakan tempat ini sebagai Kampong Koboi. Pembinaan asas Pusat ini telah disiapkan dalam tahun 1972. Perkembangan seterusnya termasuk pembinaan Unit Pembiakan dan Penetasan ayam di dalam tahun 1974 untuk mengeluarkan kira-kira 1 juta anak ayam dalam setahun. Anak-anak ayam ini adalah untuk Rancangan Buku Hijau yang terkenal pada masa itu. Pada tahun yang sama kursus ternakan ayam di mulai di Pusat ini. Kursus tenusu pula mula di jalankan mulai 1975 bagi mewujudkan penternak tenusu yang terlatih di Negeri Perak.
Pada tahun 1980 Pusat ini telah mencatatkan sejarah yang gemilang apabila perasmiannya dilakukan oleh D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak. Pada tahun yang sama juga, kambing baka bermutu dan itik mula d pelihara di Pusat ini. Seterusnya rusa dan puyuh mula dimasukkan di dalam tahun 1990, diikuti dengan ternakan arnab dan pemeliharaan kuda tahun 1992. Pada masa ini Pusat tersebut menghasilkan lembu, kambing baka bermutu, bebiri, susu lembu, susu kambing, ayam, itik, puyuh, arnab dan rusa.
Bidang Latihan Yang Disediakan
| Teknologi Penternakan Kambing Tenusu | |
| Teknologi Penternakan Lembu Pedaging | |
| Teknologi Penternakan Lembu Tenusu | |
| Teknologi Penternakan Ayam Daging | |
| Teknologi Penternakan Rusa | |
| Teknologi Penternakan Burung Puyuh dan | |
| Teknologi Maklumat (Kakitangan JPH dan Kumpulan) |
![]()