|
PENYAKIT KUKU DAN MULUT
APAKAH DIA PENYAKIT KUKU DAN MULUT ?
Penyakit Kuku dan Mulut adalah penyakit ternakan yang mudah berjangkit disebabkan oleh
kuman " Virus ". Penyakit ini mudah merebak dan berjangkit kepada
ternakan-ternakan yang berkuku seperti lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan juga babi.
Binatang-binatang liar seperti rusa dan kijang juga boleh dijangkiti kuman penyakit ini.
TANDA-TANDA PENYAKIT:-
Demam dengan suhu badan yang tinggi
Hilang selera kerana kesakitan dan tidak dapat meragut rumput
Mulut melilih dengan air liur yang pekat
Kudis berselaput dihidung, bibir dan gusi. Lidah mempunyai kudis melepuh (melecur)
Ternakan memjadi tempang kerana di celah kuku kaki berkudis dan bengkak
BAGAIMANA PENYAKIT INI BOLEH BERJANGKIT
Penyakit ini terlalu mudah berjangkit, ia dijangkiti oleh ternakan-ternakan yang
terkena penyakit melalui air liur, darah, dan dengan berdekatan dengan ternakan yang
terkena penyakit. Kuman boleh juga dibawa oleh manusia, kenderaan, pakaian, kasut dan
lain-lain.
MENGAPAKAH PENYAKIT TERSEBUT PERLU DIKAWAL DAN BAGAIMANA CARA-CARA UNTUK MENCEGAH
PENYAKIT TERSEBUT DARIPADA MEREBAK
Penyakit Kuku dan Mulut perlu dikawal kerana penyakit ini akan menjejaskan perkembangan
perusahaan ternakan di negera ini. Jika ditinjau dari segi ekonomi, ternakan yang
dijangkiti penyakit tersebut bukan sahaja merugikan penternak malah negara kita juga
mengalami kerugian. Ternakan yang dihinggapi penyakit ini akan menjadi kudis dan anak-anak
lembu, kambing atau babi kemungkinan membawa maut. Ibu-ibu lembu yang sedang mengeluarkan
susu pula , pengeluarannya akan berkurangan. Kerajaan juga terpaksa membelanjakan wang
yang banyak untuk mengawal penyakit tersebut daripada merebak ke seluruh negara. Eksport
bahan-bahan daging dari negara-negara ini juga akan terjejas kerana negara pengimport
tidak akan mengimport hasil-hasil pengeluaran ternakan dari sesebuah negara yamg tidak
bebas dari penyakit Kuku dan Mulut. Oleh yang demikian amatlah penting bagi Jabatan
Perkhidmatan Haiwan dengan kerjasama anda semua untuk mengawal dan menghapuskan penyakit
ini supaya negara akan bebas daripada Penyakit Kuku dan Mulut.
CARA-CARA UNTUK MENGAWAL PENYAKIT TERSEBUT DARIPADA MEREBAK:
-
Tambatkan ternakan anda yang disyaki berpenyakit. Laporkan dengan segera kepada pegawai
di Pejabat Perkhidmatan Haiwan yang berdekatan.
-
Apabila berlakunya penyakit Kuku dan Mulut di kawasan anda jangan dibiarkan ternakan
anda berkeliaran di merata-rata tempat. Kurung atau tambatkan mereka di kawasan anda untuk
menjauhi ternakan anda daripada dijangkiti penyakit. Anda juga diingatkan supaya jangan
memindah ternakan anda dari satu kampong ke tempat yang lain.
-
Jangan sembelih binatang yang sakit. Sekiranya ternakan anda mati laporkan kepada
Pejabat Perkhidmatan Haiwan yang berdekatan sebelum ditanam.
-
Benarkan ternakan anda disuntik oleh kakitangan Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Suntikan
untuk mencegah penyakit ini dilakukan dua kali dalam jarak masa 3 - 4 minggu dan kemudian
tiap-tiap tahun. Suntikan diberi dengan percuma. Kerjasama yang penuh daripada anda
sangatlah diperlukan.
LANGKAH-LANGKAH YANG DIAMBIL OLEH PIHAK JABATAN PERKHIDMATAN HAIWAN APABILA BERLAKUNYA
PENYAKIT KUKU DAN MULUT
Jabatan Perkhidmatan Haiwan mengambil tindakan dan langkah-langkah seperti berikut:-
-
Dikawasan perkampungan ternakan tidak akan dirampas atau dibunuh. Penternak akan
dibenarkan memeliharanya dan perlulah ditambat/kurung ternakan sehingga penyakit itu
sembuh.
-
Bagi stesen-stesen Kerantina dan Rumah -rumah Sembelih, ternakan yang menunjukkan
tanda-tanda sakit dimusnahkan dengan segera. Ternakan yang tidak menunjukkan tanda-tanda
sakit tetapi tidak berada bersama-sama kumpulan yang sakit tadi dibenarkan disembelih
dengan syarat daging-dagingnya diasingkan daripada tulang. Di mana tulang-tulang ternakan
tadi ditanam dan disiram dengan kemikal-kemikal pembasmi kuman penyakit tersebut (sodium
carbonate). Kulit ternakan pula direndam di dalam air garam sekurang-kurangnya 14 (empat
belas) hari dan selepas itu diproses dengan "arsenical preparation" dan daging
yang yang telah di buang tulang tadi boleh digunakan untuk dimakan.
-
Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Haiwan akan menjalankan kempen suntikan bagi
kawasan-kawasan yang berlakunya penyakit tersebut serta di daerah-daerah yang berhampiran
dengannya. Suntikan dijalankan sekurang-kurangnya 2 (dua) kali dan selepas itu disuntik
semula tiap-tiap tahun.
-
Pemindahan ternakan di kawasan yang bebas tidak dibenarkan melainkan mendapat permit
daripada pengarah, Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Perak.
-
Sekatan sempadan diantara negeri-negeri dilakukan. Ternakan yang berkuku dan
bahan-bahannya tidak dibenarkan keluar dari negeri yang berpenyakit ke negeri yang bebas
daripada penyakit tersebut.
-
Penyembelihan persendirian di kampong-kampong tidak dibenarkan membuat sebarang
penyembelihan melainkan ternakan diperiksa dan mendapat kebenaran daripada Jabatan
Perkhidmatan Haiwan.
-
Kemikal dan ubat seperti Sodium carbonate, Lysol, cecair Yeye's dan serbuk kapur klorin
akan diberi kepada penternak bagi mengawal penyakit Kuku dan Mulut daripada
merebak.
[Menu Utama]
|